Untung bersih Eastern & Oriental jatuh 80% kepada RM16 juta pada 4QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Eastern & Oriental jatuh 80% kepada RM16 juta pada 4QFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Keuntungan bersih Eastern & Oriental Berhad (E&O) menjunam kira-kira 80% kepada RM16 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) berbanding RM79 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu menjelaskan bahawa keuntungan menurun disebabkan kos pembangunan hartanah berkurang RM135.3 juta, namun telah diimbangi dengan keuntungan nilai saksama diiktiraf pada hartanah pelaburan, peningkatan pendapatan dan pengurangan kos kewangan yang ditanggung.

 

Pendapatan kumpulan bagi suku berakhir 31 Mac 2023 ini telah meningkat 15% kepada RM65.3 juta daripada RM56.7 juta tahun lalu, manakala pendapatan sesaham (EPS) asas adalah 1.1 sen berbanding 5.45 sebelumnya.

 

Kumpulan itu berkata peningkatan pendapatan didorong oleh segmen hartanah dan segmen hospital yang masing-masing mencatat peningkatan sebanyak RM110.5 juta dan RM64.9 juta.

 

Bagi tahun kewangan 2023 (FY23), kumpulan tersebut merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM44.5 juta, menyusut 30% daripada RM63.8 juta pada tahun kewangan 2022 (FY22), manakala pendapatan melonjak 126% kepada RM318 juta berbanding RM140 juta tahun lalu.

 

Dalam satu kenyataan berasingan, kumpulan itu berkata pendapatan FY23 telah dipacu oleh pengiktirafan jualan The Meg yang terletak di Pulau Andaman Fasa 1 di samping peningkatan pendapatan segmen hospitaliti sebanyak 232.1% kepada RM92.8 juta tahun ke tahun.

 

“Lincoln Suites, hartanah hospitaliti kami di London, terus menunjukkan prestasi dengan peningkatan kadar penghunian dan kadar bilik berikutan ketibaan pelancong asing ke bandar antarabangsa ini terus meningkat,” tambahnya.

 

Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata projek sulung kumpulan, The Meg telah dijual sepenuhnya dan projek kedua iaitu Arica yang mula dijual pada Mac 2023 telah menerima kadar pengambilan yang menggalakkan.

 

 

Kok Tuck Cheong
Kok Tuck Cheong

 

 

“Pensijilan Sementara Platinum GreenREyang diterima baru-baru ini untuk projek Pulau Andaman Fasa 1, The Meg dan Arica membuktikan komitmen E&O terhadap kemampanan. Kami tetap berdedikasi melakukan perkara secara berbeza, sentiasa menjadi lebih baik, dengan keikhlasan, integriti dan semangat,” tambahnya.

 

Setakat pukul 3:50 petang hari ini, saham E&O susut 0.5 sen atau 1.6% kepada 31.5 sen dengan modal pasaran berjumlah RM488.1 juta. -DagangNews.com