Untung bersih FGV melonjak 8 kali ganda kepada RM1.17 bilion bagi FY21 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih FGV melonjak 8 kali ganda kepada RM1.17 bilion bagi FY21

KUALA LUMPUR 28 Feb – Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) FGV Holdings Bhd. (FGV) melonjak 8 kali ganda kepada RM1.17 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) berbanding RM146 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 39% kepada RM19.57 bilion, rekod tertinggi berbanding RM14.07 bilion pada 2020, menurutnya dalam kenyataan hari ini.

 

Kumpulan mengumumkan pembayaran dividen akhir sebanyak 8 sen sesaham, dengan jumlah keseluruhan pembayaran dividen sebanyak RM291.85 juta.

 

Keuntungan operasi kumpulan meningkat kepada RM1.79 bilion pada tahun kewangan tersebut berbanding RM603 juta tahun sebelumnya, didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih kukuh dan prestasi yang lebih baik daripada kedua-dua sektor gula dan logistik.

 

Purata harga MSM yang direalisasikan pada FY21 meningkat sebanyak 37% kepada RM3,671 satu tan metrik (MT), berbanding RM2,675 MT pada FY20.

 

Sementara itu, bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, FGV mencatatkan peningkatan PATAMI sebanyak RM465 juta, lebih 3 kali ganda daripada RM131 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagi suku yang ditinjau, pendapatan kumpulan meningkat 54% tahun ke tahun kepada RM6.18 bilion, manakala keuntungan operasi meningkat kepada RM633 juta berbanding RM222 juta yang dicatatkan pada tempoh sama 2020. 

 

Keuntungan operasi yang lebih tinggi ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam margin produk sawit berikutan harga purata MSM yang lebih tinggi, pengurangan kos MSM ke pintu kilang, dan kadar pengendalian yang lebih baik untuk perniagaan pukal dan pengangkutannya.

 

Sektor perladangan FGV membentuk sebahagian besar portfolio perniagaannya, merekodkan prestasi yang lebih kukuh pada suku keempat dengan jumlah keuntungan operasi sebanyak RM716 juta dengan pendapatan sebanyak RM5.41 bilion sebelum perjanjian pajakan tanah (LLA) dan rosot nilai. 

 

Ini merupakan peningkatan ketara sebanyak 87% dan 65% masing-masing berbanding suku yang sama sebelumnya, disumbangkan oleh harga MSM yang lebih tinggi dan volum pengeluaran MSM yang lebih baik. 

 

Bagi operasi huluan pula, FGV melaporkan sedikit peningkatan sebanyak 1% dalam kedua-dua pengeluaran tandan buah segar (TBS) dan hasil kepada 1.05 juta MT dan 4.16 MT per hektar masing-masing pada suku keempat berbanding tempoh sama tahun lepas, seiring dengan penambahbaikan hasil daripada pokok kelapa sawit yang matang dan muda.

 

Untuk sektor logistik, ia mencatatkan keuntungan operasi yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM29 juta pada suku keempat, meningkat 38% berbanding RM21 juta pada suku yang sama sebelumnya. 

 

Selain itu, sektor gula menerusi MSM Malaysia Holdings Bhd. mencatatkan kerugian operasi sebanyak RM6 juta pada suku keempat berbanding keuntungan operasi sebanyak RM72 juta pada tempoh sama 2020 walaupun mencatatkan pendapatan yang lebih tinggi sebanyak RM642 juta, peningkatan 2% daripada RM630 juta setahun sebelumnya. 

 

Mohd. Nazrul Izam Mansor
Mohd. Nazrul Izam Mansor 

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd. Nazrul Izam Mansor berkata, walaupun isu ketidaktentuan mengenai bekalan buruh masih berterusan, tetapi situasi berkenaan dijangka pulih menjelang suku ketiga tahun ini.

 

"Sementara itu, sektor perladangan kami akan terus menumpukan usaha pada penuaian, pemulihan tanaman dan penanaman semula untuk memastikan keuntungan kumpulan dalam jangka masa panjang," katanya. 

 

Menurut beliau, selaras dengan komitmen kumpulan terhadap kelestarian, FGV kini sedang mempertingkatkan pelaksanaan pelbagai inisiatif di seluruh operasi syarikat, khususnya berkaitan perlindungan alam sekitar, tindakan iklim dan amalan buruh yang baik. 

 

"Usaha ini dipandu oleh rangka kerja persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) seperti yang dinyatakan dalam Dasar Kelestarian Kumpulan (GSP)," jelasnya. - DagangNews.com