Untung bersih Kimlun dijangka merosot -AmInvestment Bank | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Kimlun dijangka merosot -AmInvestment Bank

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 11 Okt. - AmInvestment Bank mengurangkan unjuran untung bersih Kimlun Corp masing-masing kepada 17%, 5% dan 4% bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 berikutan pendekatan berhati-hati yang diambil firma penganalisis itu sektor pembinaan tempatan.

 

Dalam nota kajiannya hari ini, AmInvestment Bank berkata, walaupun Kimlun mengulangi sasaran RM500 juta bagi kerja-kerja pembinaan yang dimenangi untuk tahun ini, sehingga kini syarikat itu hanya memperoleh projek baharu yang bernilai RM20 juta.

 

"Dengan masa kurang dari tiga bulan sebelum memasuki tahun baharu, kami mengurangkan jangkaan kerja-kerja pembinaan baharu yang akan dimenangi Kimlum kepada RM400 juta berbanding RM500 juta sebelum ini dan pesanan produk pracetak baharu pada RM180 juta berbanding RM200 juta," katanya di sini hari ini.

 

 

Pada masa ini, pesanan tertunda bagi kerja-kerja pembinaan dan unit pracetak Kimlun masing-masing berjumlah RM0.8 bilion dan RM300 juta.

 

 

Firma itu berkata, kerja-kerja pembinaan menyumbang 60 hingga 65% kepada keuntungan kasar kumpulan dengan bakinya disumbangkan oleh pracetak produk konkrit.

 

 

Ujarnya, aliran pekerjaan di ruang sektor swasta berkaitan dengan hartanah masih belum lancar.

 


"Kami menyedari bahawa pelancaran baharu oleh pemaju hartanah masih perlahan secara amnya.

 



"Kami tetap berwaspada terhadap sektor pembinaan tempatan. Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang baru dilancarkan, perbelanjaan pembangunan pada tahun 2021–2025 diunjurkan pada RM400 bilion, berbanding RM248.5 bilion yang dibelanjakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (2016–2020).

 



"Walau bagaimanapun, perbelanjaan kemungkinan akan dibebankan, iaitu dengan peruntukan yang lebih tinggi hanya bermula pada tahun 2023 ketika perbelanjaan yang berkaitan dengan COVID-19 mulai berkurang," katanya. -DagangNews.com