Untung bersih Lotte Chemical bagi 1QFY22 menurun 76% kepada RM102.9 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Lotte Chemical bagi 1QFY22 menurun 76% kepada RM102.9 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 April - Lotte Chemical Titan Holding Berhad (LCT) mencatatkan penurunan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 76% kepada RM102.9 juta bagi 1QFY22 berbanding RM441.3 juta pada suku sama tahun lalu.

 

LCT dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, perkara itu adalah berpunca daripada penurunan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 74% didorong oleh margin keuntungan yang lebih rendah kerana kos bahan mentah yang lebih tinggi.

 

Dalam tempoh itu kos bahan mentah telah meningkat sebanyak 64% dari tahun ke tahun dan kos bahan suapan nafta adalah berkaitan dengan harga minyak mentah yang memberi kesan negatif kepada prestasi kewangan syarikat.

 

Bagaimanapun, pendapatan LCT bagi 1QFY22 meningkat sebanyak 17% dari tahun ke tahun daripada RM2.4 bilion berbanding RM2.8 nilion didorong oleh harga purata jualan daripada olefin dan produk berkaitan polyolefin 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif LCT, Park Hyun Chul berkata, kumpulan itu beroperasi dalam suasana perniagaan yang mencabar terutama ketika berlaku ketengangan geoplitik di Ukraine.

 

Katanya, ketegangan itu membuatkan harga minyak mentah dunia meningkat dan harga minyak mentah Brent berada pada paras AS$127 (RM554.10) bagi setiap tong pada awal Mac 2022 berbanding AS$78 (RM340.31) setong pada Disember 2021.

 

"Kenaikan harga minyak mentah itu memberi tekanan kepada kos operasi kami dengan bahan mentah utama kami iaitu suapan nafta adalah bergantung kepada harga semasa minyak mentah.

 

"Walaupun berdepan cabaran, pihak pengurusan telah menyediakan rangka kerja yang mantap untuk menguruskan turun naik harga bahan mentah bagi mengurangkan kesan terhadap operasi syarikat.

 

"Kami juga sudah memulakan pembinaan projek Lotte Chemical Indonesia New Ethylene (LINE) di Indonesia yang dijangka siap pada 2025 dan percaya ia akan membantu kumpulan untuk meanfaatkan pertumbuhan petrokimia di Indonesia serta Asia Tenggara selain membantu kami menjadi syarikat petrokimia utama di rantau ini," katanya. - DagangNews.com