KUALA LUMPUR 7 Feb - Untung bersih LPI Capital Bhd. bagi suku keempat (Q4) berakhir 31 Disember 2021 susut 23.27% kepada RM73.07 juta berbanding RM95.23 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, pendapatan dalam tempoh berkenaan meningkat sedikit kepada RM429.04 juta daripada RM422.38 juta dipacu pertumbuhan premium perolehan kasar menerusi segmen insurans am, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY21), untung bersih kumpulan meningkat 2.36% kepada RM344.68 juta daripada RM336.73 juta manakala pendapatan meningkat 5.93% kepada RM1.72 bilion berbanding RM1.62 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pengerusi Kumpulan LPI Capital, Tan Sri Dr. Teh Hong Piow berkata, syarikat masih cuba bertahan dan membina semula perniagaan berikutan impak pandemik COVID-19 di tengah-tengah pemulihan yang tidak sekata.
Katanya, kesesakan rantaian bekalan dan juga kesan inflasi boleh mengganggu momentum pemulihan ekonomi.
"Ini menyaksikan prestasi suku keempat kumpulan terjejas dengan normalisasi nisbah tuntutan dengan pelonggaran sekatan dan pembukaan semula ekonomi.
"Di samping itu, kejadian banjir yang berlaku akhir tahun lalu dan juga prestasi unit amanah pendapatan tetap yang kurang memberangsangkan juga menyumbang kepada keuntungan kumpulan yang lebih rendah," katanya.
Bagaimanapun, menurut beliau, di sebalik pelbagai cabaran yang dicetuskan oleh wabak tersebut, LPI Capital masih merekodkan prestasi FY21 yang berdaya tahan.
Bagi suku dikaji, anak syarikat insurans milik penuhnya, Lonpac Insurance Bhd., merekodkan peningkatan dalam nisbah tuntutan yang ditanggung kepada 37.7% daripada 34.4% bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.
Secara amnya, semua kelas insurans utama melaporkan peningkatan dalam nisbah tuntutan yang ditanggung apabila aktiviti ekonomi dibuka semula dan sekatan pergerakan berkurangan pada suku terakhir 2021.
Insiden banjir pada Disember lalu turut menyumbang sebahagiannya kepada peningkatan nisbah tuntutan yang ditanggung ini dengan Lonpac menerima lebih daripada 1,300 makluman tuntutan banjir setakat 31 Disember 2021. - DagangNews.com