Untung bersih Malaysia Smelting jatuh 28% kepada RM28.4 juta pada 2QFY23 akibat harga timah merosot | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Malaysia Smelting jatuh 28% kepada RM28.4 juta pada 2QFY23 akibat harga timah merosot

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pelombong bijih timah dan pengeluar logam, Malaysia Smelting Corporation Berhad (MSC) telah mencatat keuntungan bersih RM28.4 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23), jatuh 28% daripada RM39.5 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, disebabkan harga timah lebih rendah.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan bagi suku dalam tinjauan turut menurun 20% kepada RM327 juta berbanding RM408.8 juta pada suku kedua tahun kewangan 2022 (2QY22), sementara pendapatan sesaham (EPS) susut kepada 6.8 sen dalam suku ini daripada 9.4 sen sebelumnya.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, MSC berkata segmen peleburan bijih timah mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM16.3 juta pada 2QFY23 (2QFY22: kerugian bersih RM6.4 juta), terutamanya didorong oleh peningkatan jualan timah bertapis yang diperoleh daripada pendpatan pengantara timah yang diproses, produk sampingan dan peleburan.

 

PAT bagi segmen perlombongan bijih timah pula menurun 50% kepada RM17.2 juta dalam 2QFY23, berbanding RM34.3 juta pada 2QFY22, dipengaruhi oleh harga purata timah yang lebih rendah iaitu RM116,500 setiap tan metrik (MT) berbanding RM158,900 setiap MT pada 2QFY22.

 

Secara kumulatif, keuntungan bersih MSC dalam separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) menjunam 38% kepada RM63.9 juta daripada RM103.8 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala pendapatan merosot 13% kepada RM667 juta berbanding RM768 juta sebelumnya.

 

Melangkah ke hadapan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSC, Datuk Dr. Patrick Yong, berkata kumpulan itu komited untuk meningkatkan kecekapan operasi merentasi semua aspek segmen perniagaan peleburan dan perlombongannya.

 

“Di kilang peleburan Pulau Indah, kami mengharapkan hasil yang lebih tinggi dengan jejak karbon berkurangan, serta tenaga kerja dan kos tenaga lebih rendah, menggunakan relau lebih cekap.

 

 

Datuk Dr. Patrick Yong
Datuk Dr. Patrick Yong

 

 

“Dengan pelupusan kilang Butterworth yang dirancang pada tahun 2024, kami menjangkakan untuk mencapai penjimatan kos sehingga 30%,” ujar beliau.

 

Bagi bahagian perlombongan, Patrick berkata MSC kekal fokus untuk meningkatkan pengeluaran perlombongan harian dan produktiviti keseluruhan di lombong Timah Hidraulik Rahman (RHT) kami di Klian Intan.

 

Usahanya termasuk meneroka sumber lombong bijih timah baharu untuk mengembangkan aktiviti perlombongan.

 

“Melalui inisiatif strategik ini, kami kekal teguh dalam komitmen kami terhadap pertumbuhan yang mampan, sambil membina asas yang kukuh untuk MSC menangani cabaran dan mendapatkan prospek yang baharu muncul,” tambahnya.

 

Saham MSC ditutup rendah pada RM2.26, turun 6 sen atau 2.6% dengan permodalan pasarannya berjumlah RM949.2 juta.  - DagangNews.com