Untung bersih MISC Q3 melonjak 55% kepada RM401 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih MISC Q3 melonjak 55% kepada RM401 juta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Nov - Untung bersih MISC Bhd. bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 melonjak 55% kepada RM401 juta berbanding RM258.3 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu meningkat 30.7% kepada RM2.69 bilion berbanding RM2.06 bilion disumbangkan terutama menerusi segmen perniagaan luar pesisir berikutan pengiktirafan hasil daripada penukaran kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO).

 

Pendapatan sesaham (EPS) meningkat kepada 9 sen daripada 5.8 sen. MISC turut mengisytiharkan dividen sebanyak 7 sen sesaham bagi tahun kewangan 2021, berjumlah RM312.5 juta yang akan dibayar pada 14 Disember.

 

Bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021, MISC merekodkan untung bersih sebanyak RM1.37 bilion, daripada kerugian bersih yang dialaminya pada tempoh sama tahun lalu sebanyak RM599 juta. 

 

Dalam tempoh berkenaan, pendapatan juga meningkat 12.2% kepada RM7.59 bilion berbanding RM6.76 bilion.

 

Mengulas mengenai prestasi kewangan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Datuk Yee Yang Chien berkata, kumpulan merekodkan satu lagi suku yang mantap disokong oleh prestasi kewangan dan ekonomi yang kukuh.

 

Katanya, langkah-langkah yang telah diambil mempamerkan kapasitinya dalam membina momentum perniagaan yang kukuh, memperoleh nilai maksimum dan memacu daya tahan dalam persekitaran pasaran yang dinamik ini.

 

"Melangkah lebih jauh ke arah pemulihan ekonomi pasca pandemik, kami berada dalam kedudukan yang baik untuk melaksanakan strategi jangka panjang bagi pertumbuhan yang menguntungkan di samping mencapai matlamat ke arah masa depan dinyahkarbon," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, permintaan minyak dan gas masih menunjukkan aliran meningkat disebabkan keadaan pasaran yang semakin kukuh disokong oleh pengurusan bekalan proaktif Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) dan permintaan bermusim.

 

Bagaimanapun, katanya, pemulihan ekonomi yang berterusan akan berbeza-beza mengikut negara yang mempunyai kadar vaksin kerana cabaran kekal dalam konteks gangguan COVID-19 dan masalah berkaitan.

 

Pada masa sama, kekangan rantaian bekalan global yang terkesan dengan masalah kekurangan bekalan yang kritikal akan berterusan kerana ia menghadapi permintaan tinggi.

 

"Namun begitu, kami sentiasa optimis bahawa asas-asas ini akan kekal pada suku keempat sehingga 2022 sementara kami menantikan penamat yang kukuh untuk tahun kewangan," jelasnya. - DagangNews.com