Untung bersih Power Root diunjur berkembang sebanyak 87% pada FY23F berdasarkan pemulihan pasaran eksport | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Power Root diunjur berkembang sebanyak 87% pada FY23F berdasarkan pemulihan pasaran eksport

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 April - RHB Research mengunjurkan perkembangan untung bersih sebanyak 87% pada FY23F selepas mengambil kira pemulihan eksport, normalisasi margin terhadap kenaikan harga, momentum jualan tempatan yang teguh dan keuntungan kecekapan berterusan.

 

Katanya, kumpulan itu menyasarkan peningkatan hasil eksport sehingga RM150 juta selepas pasaran Asia Barat menunjukkan tanda-tanda pemulihan dan penyesuaian kepada cukai yang lebih tinggi oleh pengguna.

 

"Hasil jualan domestik bagi 9MFY22 meningkat 28% dari tahun ke tahun dan kami menjangkakan momentum itu berterusan pada masa akan datang dengan mengambil kira pelaksanaan strategi pemasaran yang berkesan dan sumbangan daripada produk baharu.

 

"Pada masa sama kami merasakan persaingan dalam pasaran kopi segera telah berkurangan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kenaikan harga komoditi menyebabkan peningkatan kos pembuatan dan mengurangkan margin keuntungan kepada kumpulan itu.

 

Selepas gagal menyerap kenaikan kos akibat kelemahan pasaran, firma itu berkata, Power Root telah menyemak semula kadar jualan purata (ASP) bagi pasaran domestik dan eksport sejak awal tahun ini.

 

Kesannya dijangka dapat dilihat bermula FY23F dan firma itu mengunjurkan GPM akan pulih kepada c.44% daripada 42% pada FY21.

 

"Power Root terus meningkatkan kecekapan operasinya dengan menyemak dan memodenkan proses aliran kerjanya dalam bidang pemasaran dan pembuatan.

 

"Lebih banyak aktiviti pembinaan jenama akan disambung semula berikutan pembukaan semula pasaran global tetapi perbelanjaan pemasaran kekal tertumpu kepada pulangan pelaburan (ROI) pada c.12%," katanya.

 

Dalam pada itu, firma berkenaan menyemak naik penarafan Power Root kepada 'beli' daripada 'neutral' dengan sasaran harga (TP) RM1.88 berbanding RM1.33. - DagangNews.com