Untung bersih Q2 susut, 2 penganalisis turunkan harga sasaran Kawan Food  | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Q2 susut, 2 penganalisis turunkan harga sasaran Kawan Food 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Ekoran keuntungan bersih yang dicatatkan Kawan Food Berhad menyusut pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21), dua penganalisis menurunkan harga sasaran (TP) saham syarikat pengeluar makanan sejuk beku itu. 

 

Penganalisis di CGS-CIMB Research, Walter Aw berkata, firmanya menurunkan TP Kawan Food daripada RM3 kepada RM2.50 selepas kumpulan mencatatkan prestasi kewangan separuh pertama FY21 (1HFY21) yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

Dalam masa sama, unjuran perolehan sesaham (EPS) Kawan Food pada FY21 hingga FY23 dikurangkan sebanyak 15.3% hingga 16.9% setelah mengambil kira jualan eskport lebih rendah, harga bahan mentah lebih tinggi dan pengeluaran yang berkurangan. 

 

“Kami menjangkakan kadar penggunaan Kawan Food pada 2QFY21 menyusut kepada 35% berbanding 53% pada 1QFY21 ekoran kapasiti tenaga kerja yang terhad susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan dan operasi dihentikan sementara selama dua minggu (14 hingga 28 Jun 2021) kerana terdapat kes COVID-19 dalam kalangan pekerja. 

 

“Kami menjangkakan kadar penggunaan Kawan Food akan meningkat kepada 55% hingga 60% dalam tempoh beberapa suku tahun akan datang, seiring tempahan tertangguh yang lebih kukuh daripada pelanggan tempatan dan eksport,” jelas Aw dalam satu nota kajian.

 

CGS-CIMB bagaimanapun mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas saham Kawan Food.

 

Bagi suku tahun berkenaan, keuntungan bersih Kawan Food menyusut 28.1% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM6.5 juta sekali gus membawa keuntungan bersih pada 1HFY21 menyusut 7.5% kepada RM14.8 juta. 

 

Prestasi itu disebabkan oleh jualan yang lebih lemah daripada jangkaan pada suku tahun semasa, ekoran penangguhan penghantaran bagi jualan eksport kerana kekurangan muatan global dan gangguan pengeluaran.

 

Sementara, penganalisis di PublicInvest Research, Wong Ling Ling berkata, firmanya menurunkan TP Kawan Food daripada RM3 kepada RM2.75. 

 

Beliau bagaimanapun menjangkakan prestasi kewangan Kawan Food akan bertambah baik pada 2HFY21 memandangkan permintaan makanan sejuk beku masih lagi kukuh.

 

Senada Aw, Ling Ling juga menjangkakan kadar penggunaan Kawan Food akan meningkat, disokong oleh kapasiti pekerja yang ditambah antara 80% hingga 100% memandangkan kumpulan menyasarkan untuk melengkapkan dos kedua vaksinasi bagi pekerjanya menjelang penghujung Ogos 2021.

 

“Melangkah ke hadapan, segmen hotel, restoran dan kafe (Horeca) dijangka menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan (kumpulan) kerana ekonomi bakal dibuka secara beransur-ansur, menerusi pelancaran produk baharu untuk memenuhi minat pelanggan yang berbeza. 

 

“Kawan Food kekal komited terhadap pelbagai usaha mengoptimumkan kos dan terus melabur di dalam automasi bagi mengurangkan harga bahan mentah yang lebih tinggi,” tambah Ling Ling. - DagangNews.com