Untung bersih Q4 Bumi Armada susut 18% kepada RM118 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Q4 Bumi Armada susut 18% kepada RM118 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Feb - Bumi Armada Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM574.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021), keuntungan tahunan tertinggi pernah dicatatkan sejak disenaraikan pada 2011. 

 

Bagi tempoh berkenaan, untung bersihnya meningkat lebih 3 kali ganda berbanding RM125.6 juta bagi FY2020, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Peningkatan itu terutamanya disebabkan pendapatan operasi yang lebih tinggi, bahagian yang lebih tinggi daripada hasil usaha sama dan syarikat bersekutu, kerugian rosot nilai yang lebih rendah pada kapal dan kos kewangan yang lebih rendah bagi FY2021.

 

Bagaimanapun, untung bersih kumpulan bagi suku keempat (Q4) berakhir 31 Disember 2021 susut 18.14% kepada RM118 juta daripada RM144.14 juta disebabkan pendapatan operasi lain yang lebih rendah dan kerugian rosot nilai kapal.

 

Malah, pendapatan pada suku itu juga adalah lebih rendah sebanyak RM513.05 juta berbanding RM592.15 juta bagi tempoh sama 2020.

 

Peningkatan daripada segmen terapung dan operasi pengeluaran (FPO) disebabkan terutamanya ketersediaan kapal yang lebih tinggi, manakala penurunan dalam hasil perkhidmatan marin luar pesisir (OMS) pula disebabkan kurang kapal beroperasi akibat pelupusan kapal sokongan luar pesisir (OSV).

 

Sebanyak 3 OSV dijual pada suku tersebut sejajar dengan inisiatif pengewangan aset kumpulan berkenaan segmen OMS. Kumpulan mengiktiraf keuntungan daripada jualan sebanyak RM2.5 juta bagi jualan ini.

 

Selain itu, Bumi Armada telah menyelesaikan penjualan 3 OSV bagi kategori ais pada suku pertama 2022 dengan pertimbangan tunai AS$44.5 juta.

 

Nilai kontrak bagi kumpulan pada akhir suku keempat 2021 berjumlah RM13.6 bilion, dengan pilihan tambahan lanjutan sehingga RM8.9 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bumi Armada, Gary Christenson berkata, armada FPO terus menyaksikan operasi yang stabil pada tahun lalu memandangkan kumpulan memberi fokus kepada kecemerlangan operasi dan kecekapan kos bagi mencapai rekod tahunan. 

 

"Ditambah dengan pengewangan perniagaan OSV, ini membolehkan kami terus mengurangkan hutang dan menambah baik kunci kira-kira. 

 

"Kami akan terus memberi tumpuan kepada aspek keselamatan, kemampanan, kecemerlangan operasi dan disiplin kewangan di samping meneroka peluang baharu dalam pasaran yang disasarkan," katanya. - DagangNews.com