Untung bersih Scomnet melonjak 73.82% kepada RM9.4 juta pada suku kedua dipacu segmen perubatan | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Scomnet melonjak 73.82% kepada RM9.4 juta pada suku kedua dipacu segmen perubatan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Keuntungan selepas cukai (PAT) pengeluar peranti perubatan, Supercomnet Technologies Bhd. (Scomnet) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022 (Q2FY22) mencecah rekod tertinggi sebanyak RM9.4 juta, melonjak 73.82% daripada RM5.4 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Ia disebabkan kecekapan menghasilkan jualan yang lebih baik bagi produk margin lebih tinggi, iaitu dalam segmen perubatannya dan kadar tukaran asing yang menggalakkan.


 
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Scomnet berkata, pendapatannya bagi Q2FY22 meningkat 21.71% kepada RM39.86 juta, berbanding RM32.75 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama sebelumnya, didorong permintaan lebih tinggi daripada segmen automotif, perubatan dan industri. 

 

Kumpulan juga menyaksikan margin PAT meningkat daripada 16.51% dalam tempoh yang sama terakhir kepada 23.59% pada Q2FY22.

 

Bagi perbandingan suku ke suku, pendapatan kumpulan meningkat 10.81% daripada RM35.97 juta kepada RM39.86 juta berikutan jualan yang lebih tinggi daripada segmen industri dan automotif.

 

Sementara itu, PAT menunjukkan peningkatan 26.99% daripada RM7.4 juta pada suku sebelumnya kepada RM9.4 juta didorong peningkatan dalam jualan produk margin keuntungan yang lebih tinggi dan pertukaran asing menggalakkan.

 

Bagi suku dalam tinjauan, segmen perubatan kekal sebagai pemacu pertumbuhan dengan sumbangan pendapatan sebanyak 61%. 

 

Segmen automotif juga mempunyai sumbangan pendapatan yang lebih tinggi sebanyak 10%, berbanding 5% pada tempoh sebelumnya. Sementara itu, sumbangan pendapatan bagi butiran perindustrian berjumlah 29%, berbanding 26% yang dicatatkan pada tahun lepas.

 

Pengarah Urusan Supercomnet Technologies Bhd, James Shiue berkata, mereka bekerja keras untuk memenuhi permintaan pelanggan, baik untuk segmen perubatan dan automotif.


 
“Walaupun segmen perubatan merupakan penyumbang utama kami dari segi keuntungan, kami juga melihat banyak permintaan dan tempahan daripada segmen automotif. 

 

"Pada suku akan datang, kami menjangkakan pendapatan daripada segmen automotif akan menyusul ke peringkat segmen perubatan secara beransur-ansur. Keuntungan masih akan terus diperoleh daripada segmen perubatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, pendapatan kumpulan meningkat 7.84% daripada RM70.32 juta kepada RM75.83 juta. 

 

Sebaliknya, PAT terkumpul menyaksikan lonjakan 63.26% kepada RM16.8 juta daripada RM10.29 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. - DagangNews.com