Untung bersih SFP Tech melonjak 16.5% kepada RM10.1 juta pada 1QFY23 didorong peningkatan hasil | DagangNews Skip to main content

Untung bersih SFP Tech melonjak 16.5% kepada RM10.1 juta pada 1QFY23 didorong peningkatan hasil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mei - Untung bersih SPF Tech Holdings Berhad melonjak 16.5% kepada RM10.1 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1QFY23) berbanding RM8.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu berkata, keuntungan itu dipacu peningkatan hasil sebanyak RM34.61 juta pada suku berkenaan mewakili peningkatan RM16.72 juta atau 93.4% berbanding RM17.9 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Katanya, hasil kumpulan bagi suku berkenaan diperoleh daripada segmen pemasangan mekanikal yang menyumbang RM25.77 juta atau 74.45% daripada jumlah hasil.

 

"Peningkatan itu didorong oleh jualan sistem mekanikal yang dipasang kepada pelanggan baharu dari Malaysia dan Hong Kong.

 

"Peningkatan hasil daripada segmen pemasangan mekanikal sebahagiannya diimbangi oleh penurunan dalam hasil agregat yang dijana oleh segmen perniagaan lain bagi suku semasa sebanyak RM7.41 juta atau 45.58% disebabkan pengurangan pesanan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Mengulas mengenai prospek masa hadapan, kumpulan itu berkata, pelarasan bermusim global dalam industri elektrik dan elektronik dijangka memberi kesan kepada tempahan terutamanya untuk segmen perniagaan Pemesinan CNC dan Fabrikasi Logam Lembaran.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu akan terus meneroka peluang dalam segmen perniagaan ini dengan bekerjasama rapat dengan pelanggan sedia ada untuk pembangunan produk baharu dan penambahbaikan produk sedia ada yang disediakan serta memanfaatkan peluang untuk menangkap pelanggan baharu.

 

"Sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan, kumpulan itu juga akan memanfaatkan peluang pertumbuhan dan memberi fokus segmen pemasangan mekanikal bernilai tambah tinggi selain memberi bayangan untuk mengembangkan segmen itu dengan peluang perniagaan berasaskan projek besar," katanya. - DagangNews.com