Untung bersih Sime Darby meningkat RM281 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Sime Darby meningkat RM281 juta

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Pertumbuhan kukuh segmen permotoran terutama di China mendorong prestasi kewangan Sime Darby Berhad yang lebih baik pada suku pertama berakhir 30 September 2020 (Q1 FY2021). 

 

Bagi suku berkenaan, untung bersih kumpulan meningkat 14.2% kepada RM281 juta berbanding RM246 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2019 (Q1 FY2020). 

 

Perolehan pula meningkat 14.8% kepada RM10.9 bilion pada suku itu berbanding RM9.48 bilion untuk tempoh sama 2019. 

 

Kumpulan turut merekodkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) yang lebih baik, meningkat 17.6% tahun ke tahun kepada RM447 juta. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson  berkata, pemulihan ekonomi China menjadi pemacu kepada keputusan kewangan suku pertama yang lebih kukuh. 

 

Katanya, operasi di negara tersebut menunjukkan prestasi yang luar biasa apabila segmen permotoran merekodkan keuntungan lebih daripada 70% dalam dan lebih 30% disumbangankan menerusi segmen perindustrian. 

 

"Malah, segmen permotoran mencatat peningkatan keuntungan dalam kebanyakan pasaran apabila perintah sekatan dilonggarkan sekali gus melonjakkan perbelanjaan pengguna. 

 

"Bagaimanapun, kami melihat terdapat impak daripada harga arang yang rendah dalam segmen perindustrian kami, pengurangan operasi perlombongan yang menyebabkan penghantaran peralatan dan jualan alat ganti rendah," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Beliau berkata, walaupun ia menunjukkan kemajuan permulaan FY2021, tetapi kumpulan akan terus berhati-hati terhadap risiko peningkatan jangkitan kes COVID-19 yang akan memberi impak kepada ekonomi global dan prospek kumpulan pada masa akan datang. 

 

"Kami akan terus kekal fokus melaksanakan strategi kami dan menguruskan kecekapan," katanya. - DagangNews.com