Untung bersih suku kedua TNB melonjak 340.4% kepada RM1.44 bilion | DagangNews Skip to main content

Untung bersih suku kedua TNB melonjak 340.4% kepada RM1.44 bilion

TNB raih untung bersih RM1.44 bilion pada suku kedua 2024, naik lebih 300%. -Gambar TNB CareLine
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Untung bersih Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) meningkat 340.4% kepada RM1.44 bilion berbanding RM327.9 juta setahun sebelumnya.

 

Pendapatan syarikat utiliti tersebut pada suku tahun berakhir 30 Jun 2024 pula sebanyak RM14.37 billion.

 

Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 7.8% daripada RM13.3 billion pada suku kedua FY23, katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia.

 

"TNB mengisytiharkan dividen sebanyak 25 sen pada suku kedua FY24," katanya hari ini.

 

Menurut TNB, pendapatan untuk suku tahun semasa meningkat kepada RM14.37 bilion hasil daripada peningkatan jualan elektrik sebanyak 5.7% atau RM745.8 juta.

 

"Untung operasi untuk suku tahun semasa meningkat sebanyak 19.9% atau RM372.5 juta, terutamanya disebabkan oleh pengurangan margin bahan api negatif pada suku tahun semasa berbanding suku tahun yang sama tahun lalu.

 

tnb

 

ARTIKEL BERKAITAN: Nilai saham TNB diramal terus kukuh, RHB Investment semak naik TP kepada RM16.70

 

"Untung selepas cukai untuk suku tahun semasa meningkat sebanyak RM1.24 bilion, daripada RM270.9 juta yang dilaporkan pada suku tahun yang sama tahun lalu kepada RM1.51 bilion, terutamanya disebabkan oleh keuntungan operasi yang lebih tinggi serta kesan positif daripada pertukaran mata wang asing dan kos kewangan bersih," jelasnya.

 

Tambah TNB, untuk tempoh berakhir 30 Jun 2024, Kumpulan melaporkan prestasi kewangan yang meningkat yang didorong oleh pertumbuhan permintaan yang lebih kukuh, prestasi operasi yang lebih baik dan pengurusan modal yang cekap. 

 

Katanya, pertumbuhan permintaan elektrik sebanyak 8.4% yang dicatatkan selaras dengan pengembangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.9% pada suku kedua tahun 2024.

 

"Dengan ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 4% hingga 5% disebabkan oleh permintaan domestik yang teguh, Kumpulan menjangkakan prestasi yang stabil untuk tahun 2024," ujarnya.

 

TNB juga akan terus berhati-hati terhadap turun naik pasaran sambil mengambil langkah-langkah berhemat untuk memastikan ia kekal berdaya tahan.

 

"Kumpulan komited untuk memainkan peranan penting dalam menyokong Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) sambil mengejar pertumbuhan perniagaan," katanya. - DagangNews.com