UOB dedah 3 risiko utama perlu diperhatikan pelabur tahun ini | DagangNews Skip to main content

UOB dedah 3 risiko utama perlu diperhatikan pelabur tahun ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Penularan pandemik COVID-19 meletakkan pasaran saham menjadi terumbang-ambing, sehingga sukar untuk pelabur membuat percaturan bijak dalam tempoh berkenaan. 

 

Setelah hampir setahun mengharungi ketidaktentuan pasaran akibat pandemik berkenaan, para pelabur sudah tentu mempunyai strategi tersendiri untuk memastikan pelaburan mereka membawa pulangan yang diingini. 

 

Sehubungan itu, Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia Berhad, Ronnie Lim mendedahkan tiga risiko utama perlu diperhatikan pelabur pada tahun ini. 

 

Ini termasuk kelemahan dalam pengedaran vaksin COVID-19 selain perintah berkurung baharu yang mampu menjejaskan pasaran ekuiti. 

 

Ronnie Lim
Ronnie Lim

 

Ujar Lim, pemulihan ekonomi global sangat bergantung kepada kejayaan pengedaran vaksin COVID-19 di seluruh dunia. 

 

“Bagaimanapun, kelemahan dalam pengedaran vaksin, kebimbangan terhadap kesan sampingan jangka panjang dan sentimen anti vaksin selain perintah berkurung di negara-negara yang tidak dapat mengekang gelombang jangkitan baharu kemungkinan akan mengheret kemelesetan ekonomi global,” jelasnya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Selain itu, pelabur juga perlu mengambil kira risiko geopolitik yang menyaksikan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China. 

 

Menurut Lim, ketegangan itu mungkin berlarutan memandangkan AS berusaha untuk mengekang kebangkitan China. 

 

“Risiko utama lain adalah sekiranya syarikat-syarikat terus ‘menggulung tikar’ akibat pandemik COVID-19. Ini akan menyebabkan kemerosotan ekonomi global kerana pengangguran kian meningkat dan permintaan yang meruncing. 

 

“Pemulihan mungkin akan terjejas sekiranya kerajaan tidak lagi mampu menyuntik pakej rangsangan ekonomi dan mengekang virus berkenaan,” kata Lim lanjut.

 

Di peringkat pasaran tempatan, Lim menyarankan pelabur untuk bersikap memilih terhadap ekuiti Malaysia kerana impak dan pemulihan akibat COVID-19 adalah berbeza di setiap sektor. 

 

Tambah Lim, nilai saham dalam sektor kewangan dan penjagaan kesihatan perlu diberikan lebih perhatian kerana saham tersebut jauh meninggalkan pertumbuhan ekuiti di sektor teknologi, dalam beberapa tahun terakhir, terutama pada tahun 2020.

 

Lim memberi amaran bahawa saham berkaitan pelancongan akan terus berdepan cabaran sekiranya pandemik COVID-19 terus menular.

 

“Di samping melabur secara berkala dalam jangka masa yang lebih lama, kami menggalakkan pelabur untuk mengekalkan portfolio yang berpelbagai dengan memilih aset berkualiti dan berpendapatan bagi membantu mengoptimumkan pulangan pelaburan mereka.

 

“Menerusinya, mereka juga dapat mengurus risiko portfolio secara keseluruhan kerana pasaran kewangan mungkin akan terus berubah pada separuh pertama tahun 2021 kerana ketidaktentuan sepanjang tempoh berkenaan dan impak penuh akibat pandemik COVID-19. 

 

“Tumpuan pada peluang pertumbuhan jangka panjang akan membantu para pelabur melindungi nilai portfolio mereka,” jelas Lim yang turut menggalakkan pelabur dengan toleransi risiko lebih rendah untuk menumpukan aset yang kurang tidak menentu dan tidak memerlukan pengimbangan semula yang aktif. - DagangNews.com