UOB dinamakan sebagai Bank Terbaik Dunia bagi PKS  | DagangNews Skip to main content

UOB dinamakan sebagai Bank Terbaik Dunia bagi PKS 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. - UOB diiktiraf sebagai Bank Terbaik Dunia bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada Anugerah Kecemerlangan Global Euromoney 2021.

 

Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Wee Ee Cheong berkata, pengiktirafan tersebut merupakan yang terbaharu selepas UOB merangkul anugerah PKS utama lain termasuk Bank PKS Terbaik di Singapura dan Asia Pasifik di Anugerah Antarabangsa Perkhidmatan Kewangan Runcit anjuran The Asian Banker pada Jun tahun ini.

 

"Kami memahami cabaran berbeza yang dihadapi oleh PKS apabila menghadapi gangguan yang disebabkan oleh pandemik dan terus berdiri teguh dengan pelanggan kami dalam membantu mereka menghadapi krisis. 

 

"Sebagai tambahan kepada sokongan yang disediakan, kami juga membantu pelanggan PKS mengubah perniagaan mereka secara digital, merebut peluang rentas sempadan dan maju dengan penuh tanggungjawab untuk pertumbuhan jangka panjang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, menyedari betapa pentingnya digitalisasi dalam membangunkan perniagaan yang mampan, UOB telah membolehkan lebih banyak PKS menggunakan pembayaran digital.

 

"Di Malaysia contohnya, UOB mCollect dibangunkan sebagai penyelesaian pengumpulan tunai digital bersepadu dengan DuitNow2, dan dirancangkan bagi membantu syarikat memudahkan proses pengumpulan dan penyesuaian tunai mereka.

 

"UOB juga menawarkan rangkaian penyelesaian lengkap untuk membantu PKS mendigitalkan operasi mereka sambil kekal relevan dalam ekonomi digital. UOB SmartBusiness merupakan rangkaian penyelesaian perniagaan bersepadu yang meningkatkan produktiviti," ujarnya.

 

Wee Ee Cheong berkata, PKS yang menggunakan penyelesaian UOB SmartBusiness mencatat pertumbuhan pendapatan antara 15 hingga 30 peratus antara April 2020 dan Mac 2021, berbanding dengan yang belum menggunakan penyelesaian ini.

 

"Lebih 10,000 PKS di Singapura, Malaysia, Thailand dan Indonesia telah meraih manfaat daripada UOB SmartBusiness sejak ia dilancarkan pada 2016," ujarnya.-DagangNews.com