UOB lengkapkan pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Malaysia dan Thailand | DagangNews Skip to main content

UOB lengkapkan pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Malaysia dan Thailand

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Nov - UOB hari ini melengkapkan pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Malaysia dan Thailand manakala untuk Indonesia dan Vitenam dijangka sempurna pada 2023. 

 

Perniagaan pengguna terdiri daripada portfolio pinjaman tidak bercagar dan bercagar, pengurusan kekayaan dan perniagaan deposit runcit Citigroup. 

 

Pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi UOB untuk meningkatkan perniagaan runcit di ASEAN melangkaui pasaran asalnya di Singapura. 

 

Apabila selesai, pengambilalihan ini dijangka akan menggandakan asas pelanggan runcit sedia ada UOB di empat pasaran tersebut kepada 5.3 juta pelanggan selain menambahkan 5,000 kakitangan kepada tenaga kerjanya.

 

Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif UOB, Wee Ee Cheong berkata, pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Malaysia dan Thailand merupakan sesuatu yang penting dalam usaha untuk terus melabur dalam francais serantau. 

 

“Dengan penambahan bakat Citigroup kepada pasukan sedia ada kami yang mantap di kedua-dua pasaran, kami mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk mempercepatkan rancangan pertumbuhan serantau. 

 

"Rangkaian rakan kongsi kami yang diperluaskan juga membolehkan penyediaan rangkaian produk, perkhidmatan dan manfaat yang lebih luas kepada asas pelanggan yang diperbesarkan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

UOB akan terus memberi tumpuan untuk memastikan peralihan perniagaan Citigroup berjalan lancar di kesemua empat pasaran, dengan matlamat mencapai integrasi sistem sepenuhnya dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

 

Bagi menerajui perniagaan runcit yang diperluaskan di Malaysia dan Thailand, UOB telah melantik eksekutif kanan termasuk Ketua Peruncitan dan Jenama UOB Malaysia, Elaine Fan; Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim; Ketua Peruncitan dan Jenama UOB Thailand, Vira-Anong Chiranakhorn Phutrakul dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Thailand, Yuttachai Teyarachakul.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup akan mengukuhkan kedudukan UOB Malaysia dengan portfolio dan ekosistem rakan kongsi yang diperbesarkan. 

 

Katanya, perniagaan perbankan pengguna Citigroup sesuai dengan strategi perniagaan kumpulan yang lebih luas dan menekankan komitmen jangka panjang mereka kepada Malaysia. - DagangNews.com