UOB Malaysia sokong Program Sukuk SRI Hijau ASEAN sulung Global Vision Logistics bernilai RM1.5 bilion | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia sokong Program Sukuk SRI Hijau ASEAN sulung Global Vision Logistics bernilai RM1.5 bilion

Ng Wei Wei (kiri) dan Oh Kim Sun pada majlis memeterai perjanjian penubuhan Program Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) Hijau ASEAN  bernilai RM1.5 bilion.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 7 Mac – Global Vision Logistics (GVL) mengumumkan penubuhan Program Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) Hijau ASEAN  yang sulung bernilai RM1.5 bilion.

 

Program Sukuk ini akan membiayai pembangunan Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam (SAILH) oleh GVL, yang bakal menjadi hab logistik diperakui hijau pertama di Malaysia dan salah satu yang terbesar di ASEAN.

 

UOB Malaysia ialah Penasihat Utama, Penyusun Utama, dan Pengurus Utama Bersama untuk Program Sukuk ini, manakala AmInvestment Bank ialah Pengurus Utama Bersama.

 

Program Sukuk ini ditubuhkan di bawah prinsip Syariah Murabahah (melalui pengaturan Tawarruq), dan berdasarkan Rangka Kerja Sukuk SRI Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta Piawaian Bon Hijau ASEAN Forum Pasaran Modal ASEAN.

 

Tranche pertama terdiri daripada Nota Jangka Sederhana Islam tidak berkadar bernilai RM620 juta yang akan diterbitkan pada suku kedua tahun ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei  berkata, “Di UOB, maksud kemampanan kepada kami adalah sangat jelas, iaitu untuk menjalin masa depan yang mampan bersama pelanggan dan komuniti kami.

 

“Ini telah mendorong kami memperkenal dan membangunkan penyelesaian yang berkesan untuk membantu usaha nyahkarbon pelanggan kami. Kami berbesar hati menyokong pembangunan Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam yang sejajar dengan komitmen sifar bersih kami, sambil menyumbang kepada pertumbuhan industri logistik negara.

 

“Memandangkan perdagangan intra ASEAN dan China-ASEAN kini bernilai kira-kira AS$1.3 trilion secara kolektif, pembangunan sektor logistik adalah kritikal untuk memudahkan perdagangan selain memastikan daya saing Malaysia dalam rantaian bekalan global.”

 

Pengerusi GVL, Oh Kim Sun berkata, penubuhan Program Sukuk SRI Hijau ASEAN sememangnya satu peristiwa penting bagi GVL dan dengan sokongan UOB Malaysia dan AmInvestment Bank, Program Sukuk ini akan membiayai pembinaan SAILH.

 

“Apabila siap, SAILH bakal menjadi salah satu hab logistik terbesar di rantau ini yang akan meningkatkan rantaian bekalan perdagangan dan perniagaan selain meningkatkan daya saing sektor logistik Malaysia.”

 

Salah satu hab logistik diperakui hijau terbesar di Asia Tenggara

SAILH terletak di lokasi strategik kawasan perindustrian utama seluas 71 ekar di Shah Alam dan dihubungkan ke rangkaian pengangkutan darat, laut dan udara.

 

Pembangunan ini disasar siap dalam beberapa fasa menjelang 2028. Setelah siap, SAILH bakal menjadi salah satu hab logistik diperakui hijau yang terbesar di rantau ini.

 

Hab logistik ini dijangka mendapat Penarafan Perak GreenRE tempatan dan juga pengiktirafan global daripada Excellence in Design for Greater Efficiencies (EDGE) Advanced dan EDGE Zero Carbon.

 

Piawaian dan proses pensijilan adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan komitmen World Green Building Council untuk membina bangunan yang menghasilkan tenaga sebanyak (atau lebih) daripada yang digunakan atau bertujuan mencapai masa depan sifar bersih.

 

Oh berkata, “Untuk mencapai pensijilan hijau, SAILH menggabungkan ciri-ciri mampan bermula dari peringkat pembinaan hingga ke peringkat penyiapan dan operasi. Ini termasuk penggunaan bahan binaan rendah karbon semasa pembinaan hingga ke pemasangan panel solar, lekapan air yang berkesan dan pencahayaan cekap tenaga, lif dan sistem penyejukan udara.”

 

SAILH terdiri daripada kompleks gudang empat tingkat yang termasuk dua tanjakan (ramp) pemanduan bagi kenderaan ringan dan berat mengakses setiap aras gudang dengan mudah, serta kemudahan lain termasuk pejabat, persidangan dan kediaman pekerja.

 

Fasa satu pembangunan, dijangka siap pada pertengahan 2025, mempunyai jumlah keluasan bersih 2.8 juta kaki persegi yang boleh disewakan. Fasa selebihnya akan siap pada penghujung 2028.

 

Ia juga akan menampilkan teknologi dan sistem logistik terkini untuk menguruskan penyimpanan serta aliran pengangkutan dan inventori ke pusat pengedaran dan rangkaian runcit lain dalam dan luar negara. - DagangNews.com