BINTULU 10 Dis – Kerajaan Sarawak melantik UPM Kampus Bintulu sebagai hab penyelidikan perhutanan bagi Sarawak dengan geran pembiayaan berjumlah RM10.95 juta, bagi memastikan kelangsungan usaha penyelidikan dan pengurusan sumber hutan.
Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa mengumumkan geran itu berkata, pelaksanaan kerjasama itu melibatkan tiga fasa untuk membangunkan kebolehan dan kemahiran mampan serta membolehkan penyelidikan yang relevan dilaksanakan.
“Saya akan mengarahkan Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU) untuk mengeluarkan dana sebagai geran kepada Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan JHS akan memberikan dana tersebut mengikut tahap kemajuan penyelidikan dilaksanakan,” katanya.
Ketua Menteri Sarawak berkata demikian dalam ucaptama semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengurusan Sumber Hutan 2021 di sini hari ini.
Persidangan dua hari secara maya dan fizikal itu anjuran bersama Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu disertai oleh 157 peserta dan 22 pembentang daripada pelbagai negara termasuk Jepun, Singapura dan Itali.
Peruntukan dana hab penyelidikan dari Kerajaan Negeri Sarawak ini sejajar serta memperkukuhkan lagi hala tuju Universiti Putra Malaysia merujuk pada Pelan Strategik UPM 2021-2025 pada matlamat keduanya iaitu Mewujudkan Hab Penyelidikan dan Inovasi yang Menjanakan Nilai Berteraskan Ekosistem Lestari.
Dalam konteks sama Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak sedang mengkaji aliran pendapatan baharu daripada sumber hutan melalui Bayaran Perkhidmatan Ekosistem (PES).
Menurutnya, pendekatan baharu seperti projek offset karbon akan membantu orang ramai atau komuniti tempatan mendapat manfaat daripada hutan seperti sumber air bersih.
“Mengatur pembayaran untuk faedah yang disediakan oleh hutan, tanah subur, perlindungan kawasan legeh dan ekosistem semula jadi lain adalah cara untuk mengenali nilai mereka dan memastikan manfaat ini berterusan dengan baik pada masa akan datang.
“Susulan hasil pendapatan daripada pengurusan sumber semula jadi semakin berkurangan, pelbagai PES telah muncul sebagai sumber pembiayaan lestari berpotensi untuk pemuliharaan,” ujarnya.
Abang Johari berkata, matlamat utama Sarawak adalah untuk membangunkan portfolio amalan terbaik pemuliharaan dan pendekatan holistik bagi perhutanan di negeri ini sambil menambah negeri itu setakat ini telah memperoleh sejumlah 1.3 juta hektar hutan semula jadi yang diperakui.
Sementara itu, persidangan forres2021 yang berlangsung selama dua hari itu memberi peluang kepada para peserta membincangkan hala tuju masa depan perhutanan terutamanya keadaan di kawasan tropika ketika pandemik COVID-19.
Pada masa yang sama adalah untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN).
Selain itu, persidangan itu diadakan secara hibrid melibatkan peserta dari sektor awam dan swasta, organisasi alam sekitar, pertubuhan bukan kerajaan, badan saintifik dan persatuan perhutanan dalam membincangkan amalan terbaik pengurusan sumber hutan memandangkan senario global semasa.
Ketua Menteri Sarawak turut melakukan lawatan kerja ke kampus di UPMKB, Sarawak.
Yang turut hadir Menteri Utiliti Sarawak,Yang Berhormat Dato Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom; Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (Integriti Dan Ombudsman), Datuk Talib Zulpilip; Pengerusi LPU UPM, Tengku Syarif Laksamana Perlis, Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullai, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dan Pengarah UPMKB, Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini. – DagangNews.com