UPM cipta sistem CoPMos ukur bilangan tenaga kerja sektor pembinaan negara | DagangNews Skip to main content

UPM cipta sistem CoPMos ukur bilangan tenaga kerja sektor pembinaan negara

Prof. Madya Dr. Rusmawati Said menerangkan intipati CoPMoS untuk kegunaan sektor pembinaan.

 

SHAH ALAM 8 Sept. - Kumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan Construction Personnel Modelling System (CoPMoS) - sistem untuk menganggarkan keperluan tenaga kerja yang dalam sektor pembinaan.

Menurut kenyataan media UPM, CoPMos adalah sistem pertama dibina bagi membantu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menganggarkan keperluan guna tenaga dalam industri pembinaan untuk masa depan serta membantu majikan dalam pengambilan pekerja bagi sesuatu projek.

Menurut UPM, sistem itu yang dibangunkan dengan kerjasama CIDB bertujuan menangani masalah pertindihan tenaga kerja dalam sektor pembinaan, menambah kecekapan guna tenaga kerja tempatan, mengenal pasti praktis terbaik dan mengurus sumber manusia secara komprehensif.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Prof. Madya Dr. Rusmawati Said dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) berkata, idea membangunkan CoPMoS tercetus berdasarkan dapatan daripada Kajian Pengurusan Modal Insan dalam Industri Pembinaan di Malaysia bahawa sektor pembinaan memerlukan analisis maklumat bagi menganggarkan data keperluan unjuran guna tenaga yang lebih tepat.

Beliau berkata, masalah lambakan pekerja asing boleh diatasi kerana melalui sistem itu, bilangan pekerja termasuk pekerja asing yang diperlukan untuk sesuatu projek pembinaan dapat diketahui melalui unjuran yang buat. 

“CoPMoS menyediakan maklumat berkaitan pekerja binaan, tren dan cabaran industri pembinaan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
 

aaa
Sistem CoPMoS menampilkan maklumat analisis penanda aras, model pengurusan sumber manusia dan pelan induk tenaga kerja.


Maklumat di dalam CoPMoS adalah berasaskan Kajian Pengurusan Modal Insan Dalam Industri Pembinaan Di Malaysia. CoPMoS dapat membantu perancangan personel binaan yang lebih mantap dan perumusan dasar personel binaan yang lebih berkesan.

Beliau berkata, Kajian Pengurusan Modal Insan dalam Industri Pembinaan di Malaysia dijalankan menggunakan metodologi yang komprehensif iaitu gabungan kaedah kajian primer dan kaedah kajian sekunder.

Data primer dikumpul menggunakan dua saluran iaitu sistem secara dalam talian (online) dan kerja lapangan. Verifikasi telah dilakukan melalui perbincangan kumpulan fokus dan sesi temu bual protokol dengan pihak berkepentingan utama iaitu agensi-agensi kerajaan, kementerian, kesatuan majikan, pengurus syarikat pembinaan, personel binaan dan penyedia latihan berkaitan.

Kaedah kajian sekunder pula digunakan untuk tujuan ramalan dan permodelan bagi menganalisa jurang permintaan dan penawaran personel binaan. Penggunaan data sekunder dioptimumkan dengan menggunakan kaedah model ramalan ekonomi (Model stok-aliran, Jadual Input-Output bagi permintaan pekerja, kaedah "roll on" bagi penawaran pekerja), Resource Optimization Model, dan penanda arasan negara luar. Ia ditambah dengan kaedah tinjauan literatur berkaitan (Desk Research).

CoPMoS menampilkan maklumat analisis penanda aras, model pengurusan sumber manusia dan pelan induk tenaga kerja.

Melalui tiga sayap utama itu, terkandung maklumat analisis strategi amalan terbaik di negara lain, analisis model dan kaedah unjuran permintaan dan penawaran personel binaan, analisis program latihan dan pertindihan kemahiran untuk personel binaan, analisis keperluan kemahiran kritikal, kompetensi dan jawatan di industri pembinaan serta isu dan cabaran industri pembinaan pada masa hadapan.

Prof. Madya Dr. Rusmawati berkata, apabila kontraktor memohon kepada CIDB bagi mengambil bilangan tertentu pekerja, maka CIDB akan dapat membuat anggaran itu berdasarkan nilai projek dan tempoh pembinaan projek terbabit.

Beliau juga berkata, masalah tenaga kerja sering berlaku kerana klasifikasi pekerjaan di sektor pembinaan ini tidak selari dengan klasifikasi pekerjaan yang telah ditetapkan di peringkat Malaysia.

Bagi pekerja mahir, CIDB mengunakan klasifikasi yang ada di dalam Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (AKTA 520) manakala Malaysia mempunyai klasifikasi khas yang digelar Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO).  Kajian ini merupakan kajian yang pertama melakukan pemadanan kod AKTA 520 dan MASCO.    

Sistem itu mengunakan web untuk pelaksanaan dan turut menyediakan manual pengguna untuk memudahkan rujukan dan pembacaan.

Katanya, CoPMoS dilaksanakan dengan menjadikan polisi dan amalan negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom, Singapura, Australia dan Jerman sebagai penanda aras.

Menurutnya, industri pembinaan di Malaysia menyediakan peluang pekerjaan yang besar dengan jumlah tenaga kerja yang berdaftar sebanyak 1.2 juta, mewakili 9.5 peratus daripada jumlah tenaga kerja negara ini, dengan kebergantungan yang tinggi kepada adalah pekerja asing.

Justeru, sistem ini amat diperlukan bagi mengelakkan lambakan pekerja asing.

CoPMoS mula dibangunkan pada Disember 2016 dan siap pada 2018. Penyelidik yang turut terlibat dalam pembangunan sistem itu ialah Prof. Dr. Zulkornian Yusop, Prof. Dr. Azmawani Abd. Rahman, Prof. Madya Dr. Rozanah Ab. Rahman (semuanya dari UPM) dan Prof. Madya Dr. Yong Chen Chen dari Universiti Malaya.

Sistem ini memenangi pingat emas di Karnival Inovasi 4IR: Transformasi Minda Keusahawanan Siswa Pendidik, Kategori Inovasi Dunia Digital, gangsa di Jaringan Industri dan Masyarakat (JINM) Showcase 2019 serta Anugerah Jaringan Industri dan Komuniti Berimpak Tinggi 2018 dan 2019. - DagangNews.com
 

bbb
Prof. Madya Dr. Rusmawati Said menjulang trofi yang mengiktiraf sistem CoPMos ciptaan beliau dan pasukannya.