SERDANG 5 Mac - Universiti Putra Malaysia membuka pendaftaran kepada pelajar yang dibenarkan menginap di kolej kediaman bagi Semester Kedua Sesi 2021/2022 bermula 16 Mac hingga 18 Mac ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Arifin Abdu berkata, bagi mencegah risiko penularan pandemik COVID-19 dalam kampus, pihak pengurusan kolej kediaman UPM menetapkan pematuhan sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP).
SOP tersebut ialah mengisi borang pengisytiharan kesihatan, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, penggunaan pensanitasi tangan dan penjagaan kesihatan diri yang rapi.
Pelajar yang dibenarkan mendaftar di kolej kediaman iaitu bagi yang lengkap vaksinasi pelu membuat ujian RTK-Ag (dengan perbelanjaan sendiri) semasa tiba di kolej, dan mengisytiharkan keputusan kepada pengurusan semasa mengambil kunci.
Bagi pelajar yang belum lengkap vaksinasi termasuk yang belum menerima apa-apa suntikan, dikehendaki menjalani ujian pengesanan COVID-19 secara RT-PCR dan berkeputusan negatif 3 hari sebelum memasuki kampus.
''Hanya saringan RT-PCR yang dilakukan di hospital atau klinik kerajaan termasuk Hospital Pengajar UPM diterima sebagai bukti dan pelajar mesti mengisytiharkannya kepada pengurusan semasa mengambil kunci.
Prof Dr Arifin berkata, pelajar yang belum lengkap vaksinasi juga perlu membuat ujian RTK-Ag dengan kekerapan sekali seminggu dan mengemaskini ujian tersebut.
Menurutnya, UPM juga menyediakan Bilik Operasi COVID-19 Pelajar di Bilik Tun Fatimah, Kolej Pendeta Za'ba bagi menyelaras urusan berkaitan keselamatan, kebajikan dan kesihatan pelajar semasa di kampus yang beroperasi 24 jam dan boleh dihubungi di talian 03-9769 8056.
Pelajar yang telah mendaftar dan ingin keluar dari kawasan kolej untuk tempoh lama (seperti balik kampung dan lain-lain) perlu memaklumkan kepada pihak kolej sebagai rekod.
''Pelajar yang gagal mematuhi arahan seperti dinyatakan, dikira melanggar SOP dan akan dikenakan tindakan tatatertib termasuk ditarik balik kemudahan menginap dengan serta-merta dan diminta pulang ke rumah masing-masing,'' kata beliau. - DagangNews.com