KUALA LUMPUR 8 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) menyarankan kerajaan mewarta dan mengekalkan kawasan jelapang padi sedia ada bagi mengelakkan tanah sawah bertukar kepada projek pembangunan, sekali gus mengurangkan pengeluaran padi negara.
Pensyarah Kanan Fakulti Pertanian UPM, Dr. Muhammad Firdaus Sulaiman berkata, Kerajaan Persekutuan perlu membayar pampasan kepada kerajaan negeri yang berjaya mengekalkan kawasan sawah padi.
"Bagaimanapun, mekanisme ini belum wujud lagi, tetapi ia perlu diwujudkan seperti contoh sedia ada di peringkat antarabangsa melalui United Nations Framework Convention on Climate Change dan negara-negara yang telah berjaya mengekalkan kawasan hutan dibayar sejumlah pampasan.
"Kerajaan Malaysia perlu melakukan sesuatu bagi mengelakkan daripada kawasan sawah padi terjejas sehingga memberi kesan kepada keselamatan makanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, pada Jun lepas media melaporkan seramai 80 pesawah di Kampung Alor Berala, Mukim Tobiar, Kedah kecewa kerana belum menerima bekalan baja subsidi daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), sedangkan benih padi sudah ditabur sejak April lalu.
Menurut UPM, kelewatan itu menimbulkan kebimbangan kepada pesawah kerana ia akan menyebabkan tumbesaran pokok padi terbantut dan menjejaskan pengeluaran musim ini.
"Selain itu, terdapat juga pesawah yang tidak mampu untuk membeli baja padi di kedai kerana harganya mahal dan meningkatkan lagi kos tanaman padi.
"Senario kenaikan harga barangan pada masa kini turut mempengaruhi harga input pertanian seperti baja dan racun perosak yang semakin mahal. Perkara ini menambah kesukaran dan cabaran kepada petani yang mengusahakan penanaman padi di negara ini," katanya.
UPM berkata, dalam usaha mengurangkan kos pengeluaran serta beban di pihak pesawah ketika keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan perlu meningkatkan subsidi input pertanian terutamanya kapur, baja dan racun perosak.
Menurutnya, sekiranya perkara ini tidak diselesaikan segera, maka mutu serta hasil tuaian padi tidak akan menjadi dengan baik seterusnya memberi kesan kepada bekalan beras negara.
"Kita tidak mahu rakyat mengalami krisis sama dalam mendapatkan beras sebagaimana kita berdepan bekalan makanan yang tidak cukup di pasaran seperti sukar mendapatkan tepung, minyak masak paket bersubsidi, telur mahupun ayam di pasar raya, bahkan mengelakkan harga beras melonjak naik seperti minyak masak dan ayam," katanya. - DagangNews.com