UPM sertai ekspedisi saintifik Wetland Gelam Eco Park, perkenalkan produk ekopelancongan Hutan Gelam Tok Bali | DagangNews Skip to main content

UPM sertai ekspedisi saintifik Wetland Gelam Eco Park, perkenalkan produk ekopelancongan Hutan Gelam Tok Bali

Oleh Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa

Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai Ekspedisi Saintifik Wetland Gelam Eco Park bagi menjalankan penyelidikan hutan gelam di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.

 

Seramai tiga penyelidik serta tiga pelajar sarjana dan staf FHAS, UPM turut menyertai ekspedisi tersebut bagi menjayakan penyelidikan tersebut.

 

Ketua projek Sains Sosial, Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa berkata objektif utama adalah untuk memperkenalkan hutan gelam di Tok Bali sebagai produk ekopelancongan kepada masyarakat serta menjalankan penyelidikan mengenai hutan gelam di kawasan tersebut.

 

 

UPM

 

UPM

 

UPM

 

 

“Ekspedisi pada kali ini adalah untuk mengumpulkan data dan maklumat berkenaan tarikan Hutan Gelam di Tok Bali daripada segi sains dan sains sosial kepada penduduk tempatan dan pelancong luar.

 

“Melalui dapatan ini kita akan mengenal pasti perspektif masyarakat dan mencari penyelesaian untuk kita bantu masyarakat di sini bagi mempertingkatkan keterlihatan hutan gelam yang menarik untuk diteroka oleh umum,” katanya.

 

Tambah beliau, Hutan Gelam Tok Bali mempunyai kepelbagaian biodiversiti yang kaya serta berpotensi besar untuk dijadikan sebagai tarikan pelancong dan penyelidikan.

 

“Selain daripada hutan gelam kawasan Tok Bali mempunyai beberapa pantai yang popular dalam kalangan penduduk tempatan seperti Pantai Air Tawar, Pantai Bisikan Bayu, Pantai Tok Bali dan Pantai Melawi.

 

 

UPM

 

 

“Pada masa ini terdapat kekurangan data dan inventori sumber mengenai kawasan tersebut dan melalui ekspedisi ini yang mengabungkan kepakaran daripada pelbagai bidang dan agensi amat diperlukan untuk mempersiapkan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

 

Selain daripada peserta FHAS, UPM ekspedisi tersebut turut diwakili oleh pensyarah dan penyelidik daripada Fakulti Pertanian, UPM.

 

Pasukan FHAS, UPM telah menjalankan penyelidikan mengenai sosial ekonomi di beberapa kampung yang terdapat di sekitar kawasan hutan gelam Tok Bali yang terletak di daerah Semerak, Pasir Puteh.

 

Temu ramah secara bersemuka telah dijalankan bersama dengan Penghulu Kampung Air Tawar, Kulim dan Cherang Ruku bagi mendapatkan maklumat umum berkenaan kampung-kampung yang terletak berhampiran dengan Hutan Gelam Tok Bali.

 

 

UPM

 

 

Dalam pada itu, ekspedisi yang julung kali diadakan merupakan anjuran Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh, Kelantan bersama dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

 

Ekspedisi itu turut melibatkan 101 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, pelajar dan staf dari beberapa universiti awam antaranya Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - DagangNews.com