UPM sumbang 80 kit hidroponik kepada komuniti Jempol untuk galak aktiviti pertanian | DagangNews Skip to main content

UPM sumbang 80 kit hidroponik kepada komuniti Jempol untuk galak aktiviti pertanian

Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman menyampaikan kit hidroponik kepada komuniti Jempol.

KUALA LUMPUR 28 Okt - Universiti Putra Malaysia (UPM) menyumbang sebanyak 80 kit hidroponik untuk komuniti Jempol, Negeri Sembilan bagi menggalakkan aktiviti pertanian di kawasan kediaman.

 

Sumbangan tersebut dijalankan ketika sesi turun padang 100 pegawai UPM dalam pelbagai bidang kepakaran bagi menyantuni komuniti tersebut sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia. 

 

Program Outreach UPM-Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini telah dihadiri kira-kira 150 penduduk sekitar Bandar Seri Jempol turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Jempol bersama warga penduduk dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Serting Indah, KRT Taman Serting Utama dan KRT Taman Sri Serting serta Pejabat Pertanian Daerah Jempol. 

 

UPM turut berkongsi ilmu berkaitan cara penyediaan hidroponik yang disampaikan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) semasa program berkenaan.  

 

Selain itu, aktiviti pemindahan ilmu dan demonstrasi berkaitan kesihatan, penyediaan baja organik, media penanaman, penanaman colocasia spp, tips penjagaan haiwan kesayangan kucing dan kitar semula barang terpakai turut dikongsikan kepada komuniti setempat.


   
Penyelaras program, Dr Ahmad Aizuddin Md Rami, program itu bertujuan untuk menyantuni komuniti dalam peningkatan pengetahuan pertanian yang bertemakan Sekuriti Makanan dan Kesejahteraan, dan diharapkan program ini dapat memberikan manfaat khususnya dalam aktiviti pemindahan ilmu.

 

“Selain itu, penglibatan sebanyak 13 buah pusat tanggungjawab di UPM dalam program ini telah menunjukkan komitmen dan kesungguhan UPM untuk berkongsi ilmu dan kepakaran dari menara gading ke lapangan seiring dengan seruan Al-Falah dan motto UPM Berilmu, Berbakti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

upm

 

 

UPM turut menawarkan perkhidmatan secara percuma untuk pemeriksaan am haiwan kesayangan kucing melalui Klinik Bergerak Veterinar oleh Fakulti Perubatan Veterinar dan pemeriksaan kesihatan umum seperti tahap gula dalam darah dan tekanan darah oleh Hospital Pengajar UPM dan khidmat Bas Pengembangan Putra UPM di Dataran Seri Jempol. 

 

Bagi memeriahkan program, pertandingan masakan makanan warisan Negeri Sembilan, pertandingan mewarna kanak-kanak, seni mencanting batik bersama komuniti, cabutan bertuah dan sukaneka rakyat turut diadakan bagi mengeratkan lagi hubungan ukhuwah warga kampus dengan komuniti Jempol.  

 

 

upm

 

 

upm

 

 

upm

 

 

Dalam pada itu, Pengerusi KRT Taman Serting Indah, Zamree Parlan berkata, kerjasama di antara pihak UPM dengan KRT Taman Serting Indah, KRT Taman Sri Serting, KRT Taman Serting Utama dapat membantu penduduk ke arah meningkatkan pengetahuan dan kerjasama strategik di masa hadapan.

 

“Kami juga mengharapkan kerjasama yang baik ini dapat diteruskan lagi pada masa akan untuk kebaikan bersama," katanya.

 

Program ini turut dihadiri oleh Setiausaha Bahagian Dasar dan Penyelidikan KPT, Dr. Wan Baharudin Wan Mahmood; Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mohd Roslan Sulaiman; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Ismi Arif Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dr Hang Tuah Baharudin - DagangNews.com