UPM syor pihak berkuasa wujudkan peraturan lengkap cecair vape bernikotin  | DagangNews Skip to main content

UPM syor pihak berkuasa wujudkan peraturan lengkap cecair vape bernikotin 

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 April - Universiti Putra Malaysia mengesyorkan beberapa langkah yang boleh dilakukan pihak berkuasa berhubung isu peraturan dan kawal selia industri vape.

 

Pensyarah Kanan Jabatan Kimia Fakulti Sains UPM, Dr Mohd Rashidi Abdull Manap berkata, ini termasuk mewujudkan peraturan lengkap tentang bahan yang dibenarkan seperti nikotin dan tidak dibenarkan (pewarna, pemanis dan lain-lain) di dalam cecair vape.

 

Kedua katanya, menyediakan direktori lengkap makmal sains bagi pihak kerajaan dan swasta yang boleh menguji kandungan bahan kimia mengikut piawaian antarabangsa.

 

"Ketiga, kutipan cukai cecair vape bernikotin tidak boleh berdasarkan kepekatan tetapi berdasarkan kadar rata per mililiter (ml). 

 

"Kadar cukai rata setiap mililiter boleh diwujudkan untuk mengelakkan salah deklarasi dan memastikan sistem percukaian yang adil.  Pada masa sekarang, kadar cukai yang diperkenal untuk nikotina untuk e-liquid di Malaysia ialah 40 sen/ml," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mohd Rashidi berkata, selain itu ia perlu mempunyai peratura sewajarnya untuk menyekat penjualan kepada mereka yang berumur kurang daripada 18 tahun, memantau penjualan dan pemasaran, dan memantau dengan teliti kandungan serta bahan dilarang di dalam cecair vape bernikotin.

 

Katanya, makmal penyelidikan harus mempunyai pangkalan data dan sentiasa mengemas kini pangkalan data mereka kerana varian baru muncul dengan cepat untuk mengelak pengesanan secara analisa dan juga undang-undang. 

 

"Kaedah pengesanan semasa adalah perlahan dan mahal. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menyediakan dana penyelidikan khas kepada ahli kimia untuk penyelidikan asas dalam cecair vape sama ada bernikotin atau tidak yang dipasarkan di Malaysia," katanya.

 

Menurut beliau, adalah penting untuk diambil perhatian bahawa peraturan cecair vape bernikotin di negara-negara Asia Tenggara masih berkembang dan garis panduan mungkin berubah pada masa hadapan. 

 

Oleh itu katanya, adalah disyorkan supaya individu dan syarikat perniagaan yang terlibat dalam industri vape supaya sentiasa mengemaskini aktiviti berlandaskan peraturan dan garis panduan semasa yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.


 
"Sebagai ahli kimia, saya menyokong penuh tindakan pihak kerajaan yang menyahsenaraikan nikotin daripada Akta Racun Malaysia 1952 untuk tujuan percukaian cecair vape.

 

"Ini kerana ia dapat membuka dimensi baharu dan menjamin penyelidikan di peringkat molekul di dalam bidang cecair vape," katanya. - DagangNews.com