UPM tawar program biousahawan pertama seumpamanya di Malaysia | DagangNews Skip to main content

UPM tawar program biousahawan pertama seumpamanya di Malaysia

Oleh JOHARDY IBRAHIM

SERDANG 25 Jan – Universiti Putra Malaysia menawarkan program biousahawan menerusi Sarjana Sains Bioteknologi berasaskan kerja kursus yang pertama seumpamanya di negara ini, dalam usaha menggalakkan graduan-graduan menjadi biousahawan.

 

Pengambilan pertama akan bermula Julai 2022 bakal mengikuti 40 kredit program dan didedahkan kepada kemahiran dan strategi bagi mengenal pasti rumusan berasaskan sains sebagai memenuhi keperluan negara.

 

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Teknologi Bioproses, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekular, Bioteknologi Alam Sekitar dan Fermentasi UPM, Dr Ahmad Muhaimin Roslan, program itu disesuaikan pelajar dewasa yang bekerja dengan kelas diadakan selepas waktu kerja 6.30 petang hingga 9.30 malam serta hujung minggu.

 

Program tiga semester selama setahun itu akan mengandungi kursus teras termasuk disertasi, selain kursus elektif.

 

‘’Perbincangan mendalam bersama penyelidik dan usahawan berpengalaman akan membantu pelajar meluaskan potensi sebagai innovator.

 

‘’Hasilnya nanti disasarkan graduan dengan kecemerlangan saintifik dan kemahiran perniagaan akan berketerampilan di dalam sektor bioteknologi yang semakin sengit daya saingnya,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Kurikulum bersepadu ini menggabungkan kemahiran pengurusan dan sains hayat yang akan menyediakan graduan kepada masa hadapan di dalam industri bioteknologi dan perusahaan berasaskan bio.


 

Dr Ahmad Muhaimin Roslan
Dr Ahmad Muhaimin Roslan

 


Menurut Dr Ahmad Muhaimin, setakat tahun 2020, pasaran bioteknologi global dianggar bernilai AS$753.48 bilion (RM3.15 bilion) dengan CAGR sebanyak 15.5%.

 

Beliau berkata, permintaan ke atas produk berasaskan bio telah menunjukkan trend peningkatan dengan pertambahan syarikat bioteknologi di seluruh negara, merangkumi sektor seperti perindustrian, pertanian, farmaseutikal dan juga produk-produk makanan.

 

''Dunia kian beralih kepada penggunaan biojisim sebagai sumber-sumber untuk bioproduk, seiring dengan perubahan manusia ke arah pembangunan dan gaya hidup lestari.

 

 ‘Dengan perkembangan teknologi, biologi molekular, biobahan api, bioperubatan dan banyak lagi istilah saintifik telah menjadi semakin dikenali oleh orang ramai,’’ katanya.


 

UPM
Permintaan ke atas produk berasaskan bio telah menunjukkan trend peningkatan dengan pertambahan syarikat bioteknologi di seluruh negara. - UPM

 


Untuk menyertai program ini, pemohon hendaklah memiliki ijazah sarjana muda di dalam bidang berkaitan dengan minimum CGPA 2.75 atau yang setaraf. Walaupun bagaimanapun, calon dengan CGPA lebih rendah tetapi memiliki pengalaman kerja akan diterima.

 

Program ini akan dijalankan di dalam Bahasa Inggeris dan pemohon dikehendaki mempunyai markah minimum 550 di dalam TOEFL atau band 6.0 IELTS atau band 4 MUET atau setaraf dengan Common European Framework of References (CEFR). – DagangNews.com