Urus niaga JAG, KUB Malaysia perlu diteruskan agar adil kepada pemegang saham, walaupun selepas dilantik jadi menteri - Johari Ghani | DagangNews Skip to main content

Urus niaga JAG, KUB Malaysia perlu diteruskan agar adil kepada pemegang saham, walaupun selepas dilantik jadi menteri - Johari Ghani

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Jan - Urus niaga syarikat JAG Capital ke atas KUB Malaysia perlu diteruskan demi keadilan kepada pemegang saham dan mereka tahu kesan perjanjian tersebut sebelum Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai menteri.

 

Johari yang memiliki JAG Capital, dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi dalam rombakan Kabinet pada 12 Disember lalu, oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau menegaskan segala urus niaga korporat membabitkan JAG Capital, KUB dan Central Cable Berhad (CCB)  telah diumumkan sebelum pelantikannya sebagai menteri.

 

"Kita perlu berlaku adil kepada pemegang saham kerana mereka tahu kesan ke atas perjanjian itu sebelum pelantikan saya (sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi), jadi kita perlu meneruskan pelaksanaan itu. Tidak lebih daripada itu," jelas beliau kepada pemberita pada Khamis.

 

Pada November lalu, KUB mencadangkan untuk mengambil alih 86.65% kepentingan dalam CCB daripada JAG Capital untuk menceburi perniagaan pembuatan kabel kuasa, dengan harga RM119.42 juta.

 

Ini akan dipenuhi melalui terbitan 199.04 juta saham baharu dalam KUB pada 60 sen setiap satu.

 

Setelah selesai pengambilalihan, KUB akan melanjutkan MGO untuk mengambil alih semua baki saham CCB pada RM2.60 sesaham untuk dipenuhi sama ada secara tunai keseluruhan berjumlah sehingga RM18.4 juta atau melalui penerbitan saham baharu dalam KUB , juga pada harga terbitan 60 sen sesaham.

 

Bagaimanapun, pada 9 Jan, KUB mengumumkan bahawa pengambilalihan CCB akan dilakukan melalui terbitan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS) kepada JAG Capital. RCPS ini boleh ditukar kepada saham KUB biasa baharu berdasarkan asas satu untuk satu.

 

Pada Selasa, JAG menaikkan pegangannya dalam KUB kepada melebihi ambang 33 peratus, mencetuskan MGO atau tawaran awam mandatori.

 

JAG berkata ia tidak berhasrat untuk mengekalkan status penyenaraian KUB sekiranya ia memperoleh 90 peratus daripada semua saham KUB.

 

"Kami mengumumkan lebih awal untuk membeli Central Cables Bhd (CCB). Kerana terbitan saham, kami mencetuskan GO (tawaran am), jadi saya perlu melakukan GO. Saya tidak boleh membatalkan perjanjian itu. Jadi kami perlu meneruskannya.

 

"Penasihat berkata kami perlu melakukan pemerolehan dan GO serentak," kata Johari.

 

 - DagangNews.com