KUALA LUMPUR 12 Dis - Usaha murni Alumni Universiti Utara Malaysia Sarawak (AURAS) menyumbangkan bantuan kewangan dan perkhidmatan bimbingan kepada mahasiswa dari Sarawak yang masih menuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM) wajar dipuji serta dicontohi.
Naib Canselor UUM, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata, UUM memuji AURAS yang membantu memikul tanggungjawab besar universiti dalam membina dan membangunkan modal insan beretika ke arah pertumbuhan ekonomi serta pembangunan masyarakat Malaysia secara amnya.
Beliau berkata, universiti menzahirkan penghargaan kepada AURAS yang mengumpul dana membantu pengurusan universiti dalam kerja-kerja menaik taraf asrama pelajar dan memberikan bantuan kewangan kepada siswa Sarawak terutamanya dalam kalangan keluarga B40.
Jelasnya, AURAS melalui Richmind Consulting & Mentoring Sdn Bhd turut menyediakan perkhidmatan bimbingan kepada 20 pelajar UUM asal Sarawak yang terpilih.
"Dengan jumlah sumbangan kira-kira RM54,000, inisiatif oleh AURAS ini wajar dicontohi dan kita berharap ia akan berterusan dan berkembang pada tahun-tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau bersama 100 ahli AURAS menghadiri Majlis Makan Malam AURAS 2022 yang berlangsung pada 9 Disember 2022 di Kuching, Sarawak.
Presiden Protem AURAS, Chi Poh Yung berkata, AURAS akan terus menganjurkan aktiviti-aktiviti membantu para pelajar dengan melibatkan para alumni, serta menjadi tonggak dalam menjayakan misinya untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.
Katanya, dalam 38 sejarah penubuhannya, UUM telah menghasilkan ramai siswazah yang kini berjaya dalam sektor awam dan swasta, serta dalam perniagaan dan keusahawanan.
"Kami menghargai dan terhutang budi kepada UUM yang menjadi titik tolak kepada kejayaan kami sekarang. Kami berikrar akan membantu dan menyumbang kembali dalam apa juga cara yang kami mampu, bak ungkapan cogan kata UUM - Ilmu, Budi, Bakti," katanya.
AURAS yang merupakan sebahagian daripada Persatuan Alumni UUM adalah satu wadah terbaik lebih 4,000 siswazah lepasan UUM dari Sarawak yang kini melayari kerjaya cemerlang dalam bidang masing-masing.
Alumni tersebut menggembleng usaha membantu kembali alma mater mereka dan masyarakat secara keseluruhannya dengan menyumbangkan bantuan kewangan dan khidmat bimbingan kepada mahasiswa asal Sarawak yang masih menuntut di universiti tersebut.
Ditubuhkan pada 1984, UUM merupakan universiti awam ke-6 di Malaysia dan menyediakan pengkhususan dalam sains pengurusan. Kampus utamanya terletak di Sintok, Kedah. - DagangNews.com