Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 15 Jun - Pekerja dalam sektor ekonomi gig yang terdiri daripada penghantar makanan dan barangan seperti GrabFood, foodpanda, Bungkusit, Lalamove serta penunggang parcel-hailing (p-hailing) perlu diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksin.
Pengerusi Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan (PPJK), Mohammad Hisyam Shafie berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan dalam usaha membela kebajikan serta kesihatan golongan berkenaan yang terdedah kepada risiko jangkitan dan pelbagai cabaran lain.
"Mereka ini juga diiktiraf sebahagian dari petugas-petugas barisan hadapan yang bertugas menghantar makanan dan barangan sepanjang tempoh PKP 1.0 sehingga ke saat ini PKP 3.0.
"Perkara ini perlu diutamakan kerana kini golongan p-hailing kurang diberi perhatian dan perlu di utamakan bagi tujuan pemberian vaksin pada ketika ini.
"PPJK juga melihat bagaimana kita hendak membela nasib mereka yang terlibat dalam tugasan seharian sebagai seorang penunggang p-hailing ini," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pandangan tersebut juga telah dipanjangkan kepada beberapa pihak termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisyam Abdullah dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, golongan berkenaan bertungkus-lumus memberi perkhidmatan penghantaran makanan serta barangan mengikut keperluan dan permintaan pelanggan yang dibuat secara dalam talian.
Hingga kini, golongan berkenaan dianggarkan berjumlah kira-kira 100,000 orang yang terdiri daripada golongan muda dan belia. - DagangNews.com