Uzma raih kontrak bekal bahan kimia kepada Hibiscus Oil and Gas Malaysia | DagangNews Skip to main content

Uzma raih kontrak bekal bahan kimia kepada Hibiscus Oil and Gas Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jan - Uzma Berhad menerusi Malaysian Energy Chemical & Services Sdn. Bhd. meraih kontrak daripada Hibiscus Oil and Gas Malaysia Ltd. bagi membekalkan bahan kimia dan perkhidmatan berkaitan ke luar pesisir PM3.

 

Projek PM3 Kawasan Pengaturan Komersial (CAA) itu terletak di Lembangan Timur Laut, luar pesisir Malaysia dan Vietnam.

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, menerusi kontrak selama lima tahun bermula 16 November 2023 hingga 15 November 2028 itu, mereka akan membekalkan bekalan pengeluaran bersepadu dan suntikan air bahan kimia serta perkhidmatan yang berkaitan. 

 

"Nilai kontrak bagi kontrak tersebut adalah berdasarkan kepada tempahan kerja yang dikeluarkan sepanjang tempoh yang disebutkan," katanya.

 

Kontrak itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham syarikat kerana ia tidak melibatkan penerbitan saham biasa.

 

Bagaimanapun, ia dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan seterusnya sehingga tamat kontrak.

 

Hibiscus Oil & Gas Malaysia dimiliki sepenuhnya oleh Hibiscus Petroleum Berhad, yang memperoleh 35% kepentingan dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) PM3 CAA pada Januari 2022, satu daripada lima PSC yang diperoleh daripada Repsol pada harga AS$212.5 juta (RM1 bilion).- DagangNews.com