Vaksin berkesan, kemasukan warga emas ke Hospital Sungai Buloh berkurang 50% | DagangNews Skip to main content

Vaksin berkesan, kemasukan warga emas ke Hospital Sungai Buloh berkurang 50%

 Vaksin berkesan, kemasukan warga emas ke Hospital Sungai Buloh berkurang 50%

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Kadar kemasukan warga emas bagi kes di bawah Kategori Empat dan Lima ke Hospital Sungai Buloh menunjukkan penurunan sebanyak 50%.

 

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, penurunan tersebut secara tidak langsung menunjukkan keberkesanan suntikan vaksin bagi golongan berkenaan.

 

"Vaksin berkesan. Vaksin terbaik adalah vaksin pertama yang diberikan kepada anda. Jangan tangguhkan vaksinasi. Patuhi janji temu yang diberikan," kata JKJAV dalam satu ciapan di laman Twitter hari ini.

 

.

 

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kategori empat adalah mereka yang menghidap jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen.

 

Sementara itu, Kategori Lima pula adalah mereka yang mengalami jangkitan paru-paru serta memerlukan mesin ventilator.

 

Dalam ringkasan kes terbaharu di Malaysia semalam, sebanyak 8.488 kes (49.4%) berada di bawah Kategori Satu dan 8,299 kes (48.3%) lagi di bawah Kategori Dua.

 

.

 

Sebanyak 198 kes (1.2%) lagi ditempatkan di bawah Kategori Tiga, 138 kes (0.8%) di bawah Kategori Empat, manakala 47 kes (0.3%) diletakkan di bawah Kategori Lima.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada 4 Februari lalu menggariskan golongan warga emas berada di bawah Fasa Kedua program berkenaan.

 

Golongan tersebut diberi keutamaan suntikan vaksin selepas petugas barisan hadapan negara.

 

Hingga semalam, 56.3% golongan dewasa di negara ini telah menerima vaksin dos pertama dan 27.0% daripadanya berjaya melengkapkan dua dos suntikan.

 

Jumlah kumulatif pemberian dos dan jumlah individu divaksin meningkat kepada 19.5 juta setakat 29 Julai 2021. - DagangNews.com