Velesto umum persaraan Rohaizad Darus dan penggantinya | DagangNews Skip to main content

Velesto umum persaraan Rohaizad Darus dan penggantinya

 

KUALA LUMPUR 11 Dis – Presiden dan Pengarah Eksekutif Velesto Energy Bhd, Rohaizad Darus mengumumkan persaraannya pada 25 Februari tahun hadapan, melengkapkan kepimpinannya di dalam syarikat pelantar minyak dan gas luar pesisir selama 10 tahun.

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, selepas menyumbang khidmat selama sedekad dengan kumpulan, lembaga pengarah menerima hasrat persaraannya dengan rasa penghargaan terhadap kepimpinan melalui teladan beliau menerajui kumpulan.

 

Antara pencapaian Rohaizad ialah membawa Velesto, yang sebelum ini dikenali sebagai UMW Oil & Gas Corp Bhd — disenaraikan di Bursa Malaysia pada November 2013.

 

Berkelayakan sebagai jurutera mekanikal, Rohaizad menerajui kumpulan mengharungi turun naik industri minyak dan gas, serta mengendalikan penyusunan semula syarikat pada 2017.

 

Pada 1 Oktober lalu, Velesto mengumumkan kejayaannya meraih kontrak penggerudian daripada Petronas Carigali Sdn. Bhd. bagi pelantar naga 2 bernilai AS$12.4 juta (RM52 juta).

 

Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Velesto Drilling Sdn. Bhd. yang menerima surat anugerah daripada Petronas Carigali.

 

Di bawah program penggerudian Petronas Carigali, Naga 2 akan menggerusi 5 telaga minyak dengan kontrak dijangka bermula 1 hingga 31 Disember tahun ini.

 

Beliau akan digantikan oleh Megat Zariman Abdul Rahim, yang menerajui Bumi Armada Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan marin luar persisir dan kini memimpin bahagian hubungan luaran dan kelestarian syarikat tersebut.


 

Megat Zariman Abdul Rahim
             Megat Zariman Abdul Rahim

 

 

Velesto berkata Megat Zariman memiliki pengalaman luas 31 tahun di dalam perniagaan medan minyak, termasuk tujuh tahun bekerja di peringkat antarabangsa.

 

“Beliau membawa bersamanya latar belakang industri yang kukuh dan kepimpinan yang terbukti di dalam korporat dan operasi,’’ kata syarikat.

 

Saham Velesto ditutup separuh sen atau 4.17% lebih tinggi pada 12.5 sen ketika pasaran ditutup Jumaat, memberikan modal pasaran kumpulan berjumlah RM1.03 bilion. – DagangNews.com