Wakaf, inovasi fintech, kelestarian memacu pertumbuhan masa depan sektor kewangan Islam | DagangNews Skip to main content

Wakaf, inovasi fintech, kelestarian memacu pertumbuhan masa depan sektor kewangan Islam

Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Islam Institut Akauntan Malaysia (MIA), Mohd Muazzam Mohamed


 

 

KUALA LUMPUR 12 Nov -  Wakaf, penyelesaian teknologi kewangan (fintech) dan agenda kelestarian global dikenal pasti sebagai pemacu utama untuk pertumbuhan kewangan Islam masa depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Islam Institut Akauntan Malaysia (MIA), Mohd Muazzam Mohamed.

 

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam berkata, ketiga-tiga pemacu ini akan membolehkan sektor kewangan Islam mencapai matlamatnya yang lebih tinggi iaitu pembangunan inklusif, kemakmuran saksama dan impak sosial yang positif dalam ekonomi pasca pandemik.

 

``Sepanjang 18 bulan yang lalu sejak COVID-19 bermula, industri kewangan Islam telah mendedikasikan banyak usaha pembangunannya untuk menangani ancaman dan cabaran  yang ditimbulkan oleh pandemik itu, ia memberikan kesan  terhadap pembinaan daya tahan sosial, memudahkan pemulihan ekonomi, serta memperjuangkan agenda kelestarian,” katanya pada Persidangan Kewangan Islam MIA 2021 baru-baru ini.

 

Persidangan itu, yang diadakan pada 27 dan 28 Oktober,  bertemakan “Kewangan Islam: Perkembangan Terkini dan Pemacu Pertumbuhan dalam Dunia Pasca Pandemik”, lapor Bernama.

 

Mohd Muazzam berkata, langkah proaktif industri dalam membantu pelanggan dengan pelbagai pendekatan bantuan, termasuk moratorium pembayaran automatik, bantuan pembayaran yang disasarkan dan skim sokongan kewangan lanjutan di bawah Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan bertujuan menggalakkan
daya tahan kewangan bagi jangka panjang.

 

Beliau juga menekankan kepentingan wakaf (kebajikan Islam) dan instrumen kewangan sosial sebagai tunjang untuk menyokong kebajikan sosial atau komponen ijtima’iy dalam ekonomi Islam.

 

“Wakaf boleh mewujudkan penciptaan impak sosial yang positif bagi jangka panjang dengan mendekatkan Malaysia kepada laluan ideal pertumbuhan yang lebih inklusif, saksama dan lestari,” katanya.

 

Selain itu, untuk membantu mereka yang kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan, industri perlu terus meneroka produk dan perkhidmatan kewangan inovatif yang baharu bagi mencipta penyelesaian kewangan yang boleh memupuk keusahawanan mikro.

 

“Bagi tujuan ini, beberapa bank Islam dengan kerjasama rakan kongsi strategik telah menggabungkan tawaran perbankan tradisional dengan instrumen Kewangan Sosial Islam seperti sedekah (derma  atau kebajikan) dan zakat  untuk menghasilkan  produk pembiayaan mikro mampu milik yang dikenali sebagai iTekad, yang disediakan bersama dengan bimbingan dan latihan perniagaan berstruktur bagi memastikan pengasuhan perniagaan yang berkesan,” kata beliau.

 

Instrumen pelengkap lain untuk meningkatkan akses pembiayaan termasuklah kit penilaian tapisan Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk perusahaan
mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang tidak tersenarai.

 

Sementara itu, beliau berkata kelestarian kini menjadi agenda arus perdana merentasi semua sektor kewangan, khususnya kewangan Islam yang mempunyai pertimbangan yang wujud, termasuk beretika, lestari dan bertanggungjawab.

 

“Bagi sektor perbankan Islam dan takaful, visi dan komitmen bersama untuk memperjuangkan agenda kelestarian  adalah berpaksikan kepada rangka kerja Pengantaraan berasaskan Nilai oleh Bank Negara Malaysia,” katanya. - DagangNews.com