Walaupun kecewa, Zii Jia berjaya perbaiki ranking dunia | DagangNews Skip to main content

Walaupun kecewa, Zii Jia berjaya perbaiki ranking dunia

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Nov - Selepas gagal meraih kejuaraan kedua tahun ini di Terbuka Hylo, minggu lalu, pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia mampu menarik nafas lega apabila dia menduduki kedudukan ketujuh dunia naik satu anak tangga berbanding sebelum ini.

 

Berdasarkan kedudukan ranking terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pemain berusia 23 tahun itu berjaya memperbaiki kedudukannya dan sekaligus mencerahkan laluan untuk beraksi di Siri Jelajah Dunia akhir yang akan berlangsung di Bali, bulan hadapan.

 

Pemain kelahiran Alor Setar itu mengumpul 76,100 mata tahun ini termasuk lima aksi terakhir merangkumi Piala Thomas, Piala Sudirman, Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Hylo untuk memintas pemain Indonesia, Jonathan Christie yang berada di kedudukan kelapan.

 

Juara dunia dua kali dari Jepun, Kento Momota tetap unggul di kedudukan No.1 dunia dan diikuti pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, dari Denmark, Viktor Axelsen di kedudukan kedua.

 

Bagi Zii Jia, dia mengharapkan sokongan daripada peminat tanah air walaupun gagal menambah koleksi kejuaraan kedua di Jerman selepas menjuarai All England.

 

"Saya sentiasa mempunyai keazaman untuk menang tetapi saya mohon maaf kerana menamatkan dengan cara begini di Jerman.

 

"Tapi hari ini, saya merasa lebih baik. Saya akan mempertimbangkan kejohanan akan datang namun semuanya terpulang kepada keadaan diri saya juga," katanya.

 

Pada aksi di pentas final Terbuka Hylo, Zii Jia terpaksa menarik diri akibat kecederaan dan memberi kemenangan kepada Loh Kean Yew dari Singapura dengan keputusan 21-19, 13-21, 12-17 selain tersingkir awal awal dalam saingan Terbuka Perancis selepas tewas kepada lawan sama.-DagangNews.com