‘Women Entrepreneurship with Exabytes’ pupuk keusahawanan wanita Malaysia & Singapura | DagangNews Skip to main content

‘Women Entrepreneurship with Exabytes’ pupuk keusahawanan wanita Malaysia & Singapura

‘Women Entrepreneurship with Exabytes’

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mac. - Penyedia teknologi awan, e-dagang dan digital terulung di rantau Asia Tenggara, Exabytes Network Sdn. Bhd. (Exabytes) melancarkan inisiatif ‘Women Entrepreneurship with Exabytes’ bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia 2021 pada 8 Mac nanti.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Exabytes, Chan Kee Siak berkata, insiatif berkenaan bertujuan untuk menyerlahkan keupayaan dan memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan wanita di Malaysia dan Singapura.

 

“Kerancakan penerimaan digital dan peralihan kepada e-dagang sejak setahun lalu membuka ruang kepada kelahiran lebih ramai usahawan.

 

"Platform-platform e-dagang memberikan peluang yang sama rata kepada semua orang untuk memperolehi pendapatan yang lebih baik. Inilah perkara yang kami mahu capai menerusi inisiatif Women Entrepreneurship with Exabytes.

 

"Selain daripada Women Entrepreneurship with Exabytes, inisiatif kami yang lain seperti Sama-Sama Digital juga berjaya membantu banyak PKS di Malaysia untuk memulakan langkah pertama dalam pendigitalan perniagaan mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Chan Kee Siak
Chan Kee Siak 

 

Inisiatif ‘Women Entrepreneurship with Exabytes’ dilaksanakan menerusi pembinaan platform dalam talian khusus buat usahawan wanita di Malaysia dan Singapura untuk menjadikan idea perniagaan sebagai satu kenyataan.

 

Bagi menjayakan inisiatif berkenaan, Exabytes akan memberi tajaan dalam bentuk produk dan perkhidmatan berjumlah RM350,000 dan SG$350,000.

 

Tambah beliau, insiatif berkenaan turut disokong oleh EXCO Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Chong Eng yang turut hadir pada sidang media maya pelancaran.

 

Women Entrepreneurship with Exabytes memberi peluang kepada 100 orang usahawan wanita terpilih untuk membangunkan laman web atau kedai dalam talian mereka secara percuma.

 

Usahawan yang terpilih juga mendapat kelebihan untuk meluaskan capaian kepada audiens baharu bagi meningkatkan jualan. 

 

Ujar Chan lagi, menerusi insiatif berkenaan, Exabytes bertekad untuk memperkasa dan memupuk semangat semua usahawan wanita dalam membangunkan perniagaan mereka. 

 

"Kami pernah melihat sendiri kejayaan wanita-wanita yang berupaya menguruskan keluarga dan perniagaan mereka secara serentak dan sekarang kami berhasrat untuk membuka peluang yang sama kepada lebih ramai wanita. 

 

"Inisiatif ini juga tentunya akan menyumbang kepada penambahbaikan aspek kemandirian dan pengukuhan kewangan wanita, terutamanya golongan suri rumah tangga,” katanya.

 

'Women Entrepreneurship with Exabytes' berlangsung sepanjang Mac 2021 dan terbuka kepada semua usahawan wanita dengan perniagaan berdaftar di Malaysia atau Singapura. 

 

Tarikh akhir permohonan adalah pada 31 Mac 2021. - DagangNews.com