Woodpeckers sasar buka 40 cawangan jenama teh susu Thai, ChaTraMue di Malaysia menjelang akhir 2024 | DagangNews Skip to main content

Woodpeckers sasar buka 40 cawangan jenama teh susu Thai, ChaTraMue di Malaysia menjelang akhir 2024

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Kumpulan yang berada di sebalik kejayaan jenama yogurt semulajadi 'llaollao' di Malaysia, Woodpeckers Group Sdn Bhd memperoleh francais nasional eksklusif untuk jenama teh susu Thai terkemuka, ChaTraMue.

 

Woodpeckers menandatangani perjanjian francais selama 20 tahun untuk Malaysia dengan Cha Thai International Company Limited, pemilik jenama ChaTraMue (disebut sebagai Cha-Tra-Mer) di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

 

Pengarah Woodpeckers, Tan Kai Young berkata, pihaknya bangga dan teruja kerana menjadi yang pertama di luar Thailand untuk memperoleh francais eksklusif nasional dengan Cha Thai, sebuah syarikat yang mempunyai sejarah sejak lebih daripada 100 tahun yang lalu.

 

"Memandangkan Malaysia merupakan negara pencinta teh, kami melihat potensi yang besar untuk ChaTraMue. Rakyat Malaysia pasti akan menikmati rasa jenama teh susu Thai nombor satu ini.

 

"Di Woodpeckers, kami sentiasa ingin memberikan pelanggan pengalaman daripada budaya yang berbeza. Kami sentiasa mencari rasa makanan dan minuman yang menarik untuk dibawa ke Malaysia.

 

"Kami telah memperkenalkan yoghurt beku semulajadi yang terkenal dan berkhasiat dari Sepanyol, iaitu llaollao, dan membawanya ke puncak kegemilangan di Malaysia. Baru-baru ini, kami menceburi sektor yang lebih elegan melalui restoran mewah kami sendiri, TBC, dan kini, kami akan menambahkan ChaTraMue," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Pengurus Operasi Jenama Woodpeckers Group, Ricky Tjandra pula berkata, bagi memastikan outlet-outlet di Malaysia memiliki citarasa yang serupa dengan ChaTraMue di Thailand, Woodpeckers akan menggunakan daun teh Thai yang sama. 

 

 

woodpeckers
Tan Kai Young (dua, kiri) dan Srisuporn Chaturongkavanich (dua, kanan) memeterai perjanjian francais ChaTraMue di Malaysia. Turut kelihatan, Ricky Tjandra (kiri) dan Pengurus Serantau Cha Thai International, Sommarat Suwanpangpan.

 

 

Katanya, pihaknya telah mencari lokasi yang sesuai untuk membuka lapan hingga 10 cawangan tahun ini dan lima lagi cawangan pada suku pertama tahun depan.

 

"Kami seterusnya akan meningkatkan skala pembukaan cawangan kami kepada sembilan cawangan setiap suku tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kedai kami kira-kira 40 menjelang akhir tahun depan," katanya.

 

 

woodpeckers

 

 

Pengarah Urusan Cha Thai International, Srisuporn Chaturongkavanich yakin bahawa Woodpeckers berpotensi mengembangkan jenama ChaTraMue di Malaysia. 

 

Beliau juga menekankan bahawa rundingan tersebut dilaksanakan dengan teliti selama beberapa bulan, menunjukkan syarikat sangat berhati-hati sebelum memberikan francais nasional kepada mana-mana pihak.

 

"Malaysia merupakan negara pertama yang diberikan kebenaran untuk menggunakan jenama kami yang bermula sejak 1945 dan ianya benar-benar merupakan sebahagian daripada tradisi teh Thai kami.  Kami teruja untuk bekerjasama dengan Woodpeckers bagi membawa konsep teh Thai asli ke Malaysia," katanya. - DagangNews.com