WZ Satu cadang tukar nama kepada Citaglobal Berhad | DagangNews Skip to main content

WZ Satu cadang tukar nama kepada Citaglobal Berhad

Langkah bertujuan untuk lebih mencerminkan aspirasi Pengerusi Eksekutif dan Presiden Tan Sri Norza dalam menjadikan WZ Satu sebagai syarikat utamanya.

KUALA LUMPUR 9 Mac – Pakar kejuruteraan awam dan pembinaan WZ Satu Berhad mengemukakan cadangan untuk menukar namanya kepada Citaglobal Berhad untuk memberi gambaran yang lebih jelas tentang teras perniagaannya yang sedang bergerak ke hadapan.

 

Kumpulan berhasrat untuk berubah menjadi sebuah konglomerat yang terbabit dalam pengurusan kemudahan, telekomunikasi, tenaga, infrastruktur dan sektor teknologi.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, WZ Satu berkata Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) akan diadakan pada tarikh yang akan diumumkan kemudian bagi mendapat kelulusan pemegang saham bagi agenda yang dicadangkan.

 

Pengerusi Eksekutif dan Presiden WZ Satu Berhad, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, cadangan penukaran nama mencerminkan keazamannya untuk meneruskan pengalaman yang diperoleh dalam mengembangkan Citaglobal Sdn Bhd bagi membawa WZ Satu ke tahap yang lebih tinggi.

 

''Saya tidak sabar-sabar untuk menjadikan WZ Satu sebagai peserta yang serius dalam industri yang sedang diceburinya serta industri baharu yang boleh menyediakan pertumbuhan transformasi,'' kata beliau.

 

Setakat 31 Disember 2021, buku pesanan WZ Satu berjumlah RM578 juta dan ini akan memberikan prospek jelas pendapatan syarikat sehingga 2023.

 

Dalam beberapa tahun akan datang, satu daripada pemacu utama bagi WZ Satu ialah pelancaran rangkaian 5G Malaysia dan sebaik sahaja syarikat melengkapkan pemerolehan daripada Citaglobal Engineering Services Sdn Bhd (CESSB), Kumpulan dijangka bakal menjadi penerima manfaat pembangunan menara telekomunikasi 5G di seluruh negara.

 

CESSB mempunyai lebih daripada 15 tahun pengalaman sebagai jururunding kejuruteraan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan, dan empat tahun pengalaman dalam pembangunan menara telekomunikasi.

 

Pada masa ini terdapat 20 menara yang menjana pendapatan berulang di bawah CESSB, dan syarikat itu sedang membida untuk mendapatkan lebih banyak lagi projek berkenaan.

 

"Walaupun WZ Satu tidak memiliki lesen yang diperlukan (lesen pembekal kemudahan rangkaian) dalam perkara in, namun CESSB memilikinya, dan kami merancang untuk menyuntik beberapa projek menara ke dalam projek yang dahulu," jelasnya. 

 

 

wzs

 

 

Menyingkap kembali, WZ Satu pada 17 November 2021 telah mencadangkan untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam CESSB daripada Citaglobal Sdn Bhd dalam pertimbangan pembelian indikatif sebanyak RM140 juta.

 

Cadangan pengambilalihan itu dibuat dengan jaminan keuntungan bersih agregat sebanyak RM60 juta untuk 3 tahun kewangan penuh berakhir 2022, 2023 dan 2024. CESSB adalah sebuah syarikat sendirian berhad Bumiputra dan terbabit dalam perkhidmatan perundingan kejuruteraan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan.

 

Kumpulan baru-baru ini mencatat pemulihan pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (4Q21) dengan keuntungan bersih RM3.6 juta bersandarkan pendapatan sebanyak RM57 juta. Dengan prestasi kukuh, Kumpulan kembali menjana keuntungan pada asas setahun penuh, iaitu kali pertama sejak 2018.



WZ Satu Bhd telah disenaraikan pada 2 Jan 2008 dan merupakan kumpulan terpelbagai dengan pelbagai aliran pendapatan. Perniagaannya termasuk dalam industri kejuruteraan awam dan pembinaan, minyak & gas dan pembuatan. Unit operasi utama Kumpulan ialah WZS BinaRaya Sdn Bhd, Sinergi Dayang Sdn Bhd, WZS Misi Setia Sdn Bhd dan WZS Industries Sdn Bhd. - DagangNews.com