KUALA LUMPUR 25 Mei - XOX Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mengukuhkan dan meletakkan asas bagi formalisasi perkongsian teknologi strategik.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata tujuan perkongsian itu secara kolektifnya untuk meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan semasa yang disediakan oleh MBI kepada penduduk Ipoh melalui pendigitalan, aplikasi realiti tambahan, aplikasi tanpa tunai, dan automasi.
Menerusi MoU itu, MBI akan melantik XOX sebagai rakan teknologinya dan akan membuka jalan bagi pihaknya untuk menyediakan cadangan teknikal bagi MBI mempertimbangkan pelaksanaan berdasarkan keperluan awam.
MoU itu berkuat kuasa 24 Mei, Bernama melaporkan.
“MoU ini tidak akan memberi kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama XOX.
MoU ini juga dijangka tidak mempunyai sebarang kesan serta-merta yang ketara ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan tahap kadar hutang kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2022," katanya. - DagangNews.com