Yayasan LTAT salur RM477,500 kepada 340 anak-anak warga ATM, veteran cemerlang dalam akademik | DagangNews Skip to main content

Yayasan LTAT salur RM477,500 kepada 340 anak-anak warga ATM, veteran cemerlang dalam akademik

Mohamad menyampaikan replika cek kepada salah seorang penerima AKP ATM 2023 di Kuala Lumpur.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 26 Okt - Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) terus menyokong pendidikan anak-anak warga tentera menerusi pemberian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Bagi tahun ini seramai 340 pelajar menerima AKP bagi kategori institut pengajian tinggi awam dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). 

 

Seramai 65 pelajar menerima RM1,000 manakala RM1,500 kepada 275 pelajar kategori SPM yang akan dikreditkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime penerima.

 

Keseluruhannya Yayasan LTAT telah memperuntukkan sebanyak RM477,500.

 

Terima

 

AKP ATM ini merupakan antara sumbangan yang ditaja keseluruhannya oleh Yayasan LTAT sebagai tanda penghargaan kepada warga ATM, veteran serta ahli keluarga.

 

Ini juga menjadi pemangkin semangat kepada warga ATM untuk meningkatkan pencapaian akademik anak-anak. 

 

Peranan Yayasan LTAT yang sentiasa menyokong dan mencari inisiatif baharu seperti Program Sentuhan Elit SPM, Jejak Bakat Anak Tentera dan LAKSAMANA telah banyak menyumbang kepada kejayaan anak-anak tentera dalam pendidikan.

 

Sejak diperkenalkan pada tahun 1991 yang dikenali sebagai Yayasan Warisan Perajurit, ia telah menyalurkan pemberian dan dermasiswa kepada lebih 14,000 ribu anak-anak warga ATM dengan peruntukan sebanyak RM12 juta. 

 

Terima
Mohamad menerima replika cek tajaan program pendidikan yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir.
 

 

Terdahulu, majlis AKP ATM 2023 bertempat di Dewan Perdana FELDA ini telah dihadiri dan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan.

 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak dan Panglima ATM, Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

 

Pada majlis sama, Menteri Pertahanan menerima sumbangan RM250,000 daripada ILTIZAM by Ekuinas untuk program persediaan peperiksaan SPM kepada pelajar yang bersekolah di sekolah menengah dalam kem.- DagangNews.com