Yayasan Perak peruntukan RM600,000 bagi Tabung Simpanan Anak Perak melibatkan 3,000 penerima tahun ini | DagangNews Skip to main content

Yayasan Perak peruntukan RM600,000 bagi Tabung Simpanan Anak Perak melibatkan 3,000 penerima tahun ini

Saarani (tengah) menyampaikan baucar SSPN Prime sebanyak RM200 semasa menyambut kelahiran bayi tahun baharu di HRPB Ipoh.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 4 Jan - Kerajaan negeri menerusi Yayasan Perak memperuntukkan RM600,000 kepada Tabung Simpanan Anak Perak (TASPEN) yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 bayi dilahirkan di negeri ini sepanjang 2024.

 

Yayasan Perak dalam kenyataan memaklumkan, peruntukan itu melibatkan sumbangan RM200 seorang dalam bentuk simpanan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime.

 

"Sumbangan itu merupakan inisiatif kerajaan negeri dalam menggalakkan simpanan pendidikan bagi anak-anak kelahiran Perak. 

 

“Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada Program Tuisyen Cikgu Saarani,” ujar kenyataan tersebut.

 

Bayi

 

Sejak tahun 2010, seramai 32,351 penerima mendapat manfaat sumbangan ini membabitkan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM6.47 juta. 

 

Menerusi kerjasama itu, Yayasan Perak dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bertindak sebagai badan yang diamanahkan untuk mengurus tabung ini.

 

Terdahulu, Yayasan Perak dengan kerjasama Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mengadakan majlis ringkas penyampaian baucar TASPEN kepada ibu yang melahirkan bayi sempena tahun baharu.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga pengerusi Yayasan Perak menyambut kelahiran 18 bayi tahun baharu dengan menyampaikan baucar RM200 TASPEN.

 

Bayi
Saarani (tengah) bersama Pengurus Besar Yayasan Perak, Dr. Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan (empat dari kanan) semasa melawat ke HRPB.

 

Yayasan Perak akan terus mempromosikan TASPEN dan merancang untuk mengadakan program kesedaran simpanan pendidikan dari semasa ke semasa.

 

Ini melibatkan beberapa hospital daerah lain pada masa akan datang dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri.- DagangNews.com