KUALA LUMPUR 20 Nov - Yinson GreenTech (YGT) telah meningkatkan kepentingannya dalam penyedia rumusan penyimpanan tenaga industri marin, Shift Clean Solutions (Shift) melalui pengambilalihan semua baki saham daripada TTB Holding, yang dipegang oleh pengasas Shift, Brent Perry dan Paul Hughes.
Susulan pengambilalihan terbabit, unit Yinson Holdings Berhad itu akan menjadi pemegang saham tunggal terbesar Shift dengan baki saham dipegang oleh Shapoorji Pallonji dan Delsys FZCO.
Menurut satu kenyataan media bersama hari ini, pengambilalihan strategik ini akan memacu inovasi dan pengkomersialan selanjutnya bagi teknologi penyimpanan bateri Shift.
Ia juga akan mempercepatkan pengembangan berterusan Shift ke pasaran dan geografi baharu, mengukuhkan komitmen YGT untuk memacu usaha penyahkarbonan merentas industri.
ARTIKEL BERKAITAN: Yinson GreenTech siapkan pembinaan kapal prototaip Hydroglyder berkuasa elektrik sepenuhnya
YGT memulakan kerjasama dengan Shift pada awal 2021 berhubung bot penumpang elektrik Hydroglyder, diikuti kapal pelabuhan kargo elektrik Hydromover pada akhir tahun itu.
Pada Oktober 2021, YGT membuat pelaburan awal dalam Shift, dan sejak itu kedua-dua pihak telah bekerjasama untuk mempercepatkan pelancaran rumusan Shift berskala besar di wilayah terpilih.
Pelaburan berterusan YGT dalam Shift adalah sejajar dengan rancangan strategiknya untuk mengukuhkan lagi keupayaannya dalam rumusan penyimpanan tenaga, ke arah mewujudkan ekosistem pengangkutan hijau holistik merentasi darat dan laut.
Ketua Pegawai Eksekutif YGT, Eirik Barclay berkata Shift akan terus menjadi perintis dan peneraju dalam ruang bateri marin, menunjukkan teknologi terkemuka dengan ciri keselamatan yang cemerlang.
“Memandangkan rumusan bateri adalah teras kepada elektrifikasi marin, YGT mengambil langkah aktif untuk meningkatkan keupayaan kami dalam bidang ini,” ujar beliau sambil menzahirkan hasratnya untuk meneruskan hasil kerja Brent dan Paul walaupun mereka beralih kepada usaha niaga baharu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Shift Gary Doyle berkata syarikat itu teruja dengan perkembangan tersebut yang meningkatkan sokongan daripada YGT, mengukuhkannya untuk melaksanakan projek semasa dan akan datang. - DagangNews.com