Yinson raih kontrak FSPO AS$5.2 bilion, Nomura naikkan TP kepada RM8.40 | DagangNews Skip to main content

Yinson raih kontrak FSPO AS$5.2 bilion, Nomura naikkan TP kepada RM8.40

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Nov - Nomura Securities mengekalkan saranan 'beli' bagi saham Yinson Holdings Bhd. dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM8.40 berbanding RM7 sebelum ini. 

 

Malah, penganalisisnya dalam nota kajian yang diketuai Ahmad Maghfur Usman turut meningkatkan unjuran untung bersih Yinson bagi tahun kewangan 2023 dan 2024 masing-masing sebanyak 48% dan 15%. 

 

Katanya, ia mengambil kira pendapatan daripada kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) menerusi pajakan kewangan untuk kontrak kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FSPO) bagi Integrado Parque das Baleias (IPB).

 

"TP yang lebih tinggi turut mencerminkan model penilaian kami yang turut mengambil kira FSPO IPB dan terbitan hak bernilai RM1.2 bilion. 

 

"Dengan potensi kenaikan 46%, kami mengekalkan saranan 'beli' manakala TP pula berdasarkan kepada SOTP dan kami menilai setiap projek berdasarkan DCF (kos purata wajaran modal-WACC :6.9%)," katanya hari ini.

 

Semalam, Yinson mengumumkan meraih 2 kontrak bernilai AS$5.2 bilion daripada Petróleo Brasileiro S.A. (Petrobras) yang merangkumi carter, operasi dan penyelenggaraan kapal dengan kemudahan FSPO bagi IPB di Lembangan Campos Utara, luar pesisir Brazil.

 

Surat Hasrat (LOI) diserahkan kepada unit Yinson iaitu Yinson Production Pte Ltd manakala Yinson Bergenia Production B.V, anak syarikat tidak langsung Yinson di Belanda, akan memeterai kontrak carter bagi penyediaan FSPO itu.

 

Pada masa sama, anak syarikat milik penuh Yinson di Brazil, Yinson Bergenia Serviços de Operação Ltda akan memeterai kontrak bagi tujuan operasi dan penyelenggaraan aset berkenaan.

 

Tempoh kontrak itu adalah selama 22.5 tahun daripada tarikh penerimaan akhir itu.

 

FSPO IPB adalah kapal kedua Yinson yang beroperasi di perairan Brazil selepas FSPO Anna Nery yang diserahkan oleh Petrobras kepada Yinson pada Oktober 2019.

 

Ahmad Maghfur berkata, dengan perolehan kontrak ini, nilai projek kumpulan kini mencecah kira-kira AS$15 bilion berbanding AS$9.8 bilion setakat akhir September 2021.

 

Berdasarkan pengurusan kumpulan, jelasnya, Yinson kini sedang mempertimbangkan 4 lagi projek FSPO dalam tempoh 2 tahun. 

 

"Tetapi, Yinson dilihat lebih tertumpu kepada operasi dan penyelenggaraan menerusi projek Pecan (oleh Aker Energy di Ghana) manakala Blok 31 (BP di Angola) pula lebih kepada penempatan semula dengan anggapan bahawa kedua-dua projek ini tidak memerlukan modal yang besar.

 

"Dengan memperoleh kontrak FSPO IPB ini, Yinson kemungkinan akan bekerja keras dalam rundingan projek FSPO Enauta dan mungkin tidak terlibat dalam bidaan bagi kontrak FSPO di Limbayong, Sabah," katanya. 

 

Di samping itu, tambahnya, kumpulan juga akan melaksanakan terbitan sebanyak RM1.2 bilion menjelang akhir tahun ini dengan sebahagian besarnya meliputi peruntukan ekuiti untuk projek FSPO IPB (sasaran hutang : ekuiti 70:30). 

 

Yinson sebelum ini turut mengumumkan program sukuk pada 21 Oktober lalu untuk mengumpul sehingga RM1 bilion untuk keperluan modal kerja, membiayai semula hutang sedia ada dan tujuan korporat am.

 

Setakat 11.18 pagi ini, saham Yinson menokok 25 sen atau 4.35% kepada RM6 dengan 2.63 juta saham diniagakan. - DagangNews.com