Yinson tawar geran RM50,000 kepada dua NGO melalui inisiatif CSR Yinson4Youth | DagangNews Skip to main content

Yinson tawar geran RM50,000 kepada dua NGO melalui inisiatif CSR Yinson4Youth

(Dari kiri) Setiausaha Kelab Belia Prihatin Malaysia, Rijal Rozman; Ketua Advokasi Nyawa, Jernell Tan, Dr Renard Siew Yung Jhien dan Presiden Kelab Belia Prihatin Malaysia, Luqman Md Zim.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Jan - Yinson Holdings Bhd menganugerahkan geran sebanyak RM50,000 kepada dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelab Belia Prihatin Malaysia (Belia Prihatin) dan Persatuan Bantuan Kesihatan Mental (Nyawa) di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) kumpulan itu, Yinson4Youth (Y4Y).

 

Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Yinson dan Pengerusi CSR, Chai Jia Jun berkata, pihaknya percaya bahawa memperkasakan golongan muda yang bersemangat adalah salah satu cara utama memacu dan menyampaikan perubahan positif yang berkekalan. 

 

Katanya, selain daripada sokongan kewangan, pihaknya komited untuk membimbing golongan muda supaya projek mereka dapat memberikan nilai lebih besar. 

 

"Kami teruja untuk bekerjasama dengan Nyawa dan Belia Prihatin dalam projek-projek ini dan saya yakin seterusnya akan diperkaya dengan penglibatan kami," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Ketua Kelestarian Korporat Yinson, Dr Renard Siew Yung Jhien pula berkata, pihaknya berbesar hati untuk menyokong kerja mereka dalam pemuliharaan hutan bakau dan kesihatan mental.

 

"Kami benar-benar kagum dengan kualiti semua permohonan yang diterima untuk geran sulung Y4Y, dan pada masa hadapan, kami menyasarkan untuk memperluaskan jangkauan geran tersebut untuk membantu lebih ramai pembuat perubahan golongan muda mencapai impian mereka untuk masa depan lebih baik," katanya.

 

Sementara itu, Yinson berkata, kedua-dua NGO tersebut merupakan penerima sulung Geran Y4Y, yang dibuka untuk permohonan pada November 2023, yang mana geran itu menerima permohonan daripada organisasi pimpinan belia di seluruh negara.

 

Katanya, projek pemenang daripada Belia Prihatin merupakan sebuah kolektif yang berdaftar di bawah Kementerian Belia dan Sukan, iaitu penubuhan tapak semaian bakau di Mangrove Point, Klang, Selangor.

 

"Tapak semaian itu merupakan kempen pemuliharaan paya bakau Belia Prihatin yang berterusan di seluruh negara yang bermula sejak 2022. 

 

Selain daripada memupuk anak pokok bakau, tapak semaian itu akan berfungsi sebagai hab berpusat untuk pemuliharaan bakau, memudahkan penyelidikan saintifik dan meningkatkan kesedaran masyarakat," katanya.

 

Tambahnya, ‘Projek Sentosa’ Nyawa pula memberi tumpuan kepada keperluan kesihatan mental masyarakat Orang Asli. 

 

"Pembiayaan itu akan digunakan untuk menjalankan penyelidikan tentang pengalaman unik belia Orang Asli dan pemahaman mereka tentang kesihatan mental, serta pembangunan program intervensi perintis," katanya. - DagangNews.com