Yong Tai manfaatkan pembukaan semula Teater Encore Melaka | DagangNews Skip to main content

Yong Tai manfaatkan pembukaan semula Teater Encore Melaka

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 April - Yong Tai Berhad (YTB) berada di kedudukan terbaik untuk memanfaatkan semula pembukaan Teater Encore Melaka pada 30 April 2022. 

 

Hubungan baik mereka dengan syarikat produksi yang menampilkan artis serta penghibur tempatan dan antarabangsa membolehkannya bekerjasama menghasilkan pelbagai rancangan secara langsung di Teater Encore Melaka tahun ini.

 

Syarikat itu juga menawarkan pakej fleksibel untuk membantu syarikat produksi tempatan untuk bangkit selepas dua tahun berdiam diri akibat pandemik COVID-19.

 

Ketua Pegawai Operasi, Datuk Zoe Tan berkata, keunikan Teater Encore Melaka memberikan kelebihan untuk menghasilkan pelbagai rancangan seara langsung dengan kerjasama pelbagai artis.

 

"Encore Melaka merupakan panggung teater yang menggunakan teknologi terkini dan persembahannya ditampilkan menerusi genre baharu.

 

"Jualan tiket berada di landasan yang baik dan kami melihat banyak permintaan untuk persembahan secara langsung walaupun ketiadaan pelancong antarabangsa.

 

encore
Datuk Zoe Tan

 

"Pembukaan semula sempadan antarabangsa dan kemudahan masuk ke Malaysia akan menjadi pendorong utama kepada pemulihan segmen perniagaan teater," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Persembahan secara langsung yang dijadualkan berlangsung di Encore Melaka adalah terdiri daripada muzik dan teater, filem, konsert, rancangan bual bicara, petikan piano dan banyak lagi.

 

Teater Encore Melaka boleh menampung pelbagai acara, termasuk program penstriman langsung, pertandingan ratu cantik, tayangan perdana filem, penggambaran filem, majlis anugerah, seminar, pameran, persidangan dan acara korporat.

 

Pada masa yang sama, ruang venue lain boleh menampung pelbagai acara mega seperti larian amal, triatlon, pertandingan dan festival. - DagangNews.com