Yong Tai terima kelulusan ujian klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Yong Tai terima kelulusan ujian klinikal Fasa 3 vaksin COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 April - Yong Tai Berhad (YTB) menerusi anak syarikatnya, YTB Healthcare Sdn. Bhd. (YTBH) menjadi syarikat swasta pertama yang menerima kelulusan dari Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melaksanakan ujian klinikal Fasa 3vaksin COVID-19 di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif YTB, Datuk Boo Kuang Loon berkata, lonjakan kes COVID-19 baru-baru ini merupakan sesuatu yang membimbangkan buat negara susulan penularan itu melibatkan varian berbeza. 

 

Boo Kuang Loon

 

“Ini seterusnya menjadi lebih penting buat kami dalam sektor swasta, melaksanakan tanggungjawab dalam membantu negara untuk mencapai imuniti kelompok.

 

“Kami teruja dengan kelulusan terkini untuk memulakan ujian klinikal Fasa 3 di Malaysia. Menerusi kelulusan ini, kami akan menjadi syarikat swasta pertama untuk memulakan dan menaja ujian klinikal Fasa 3 bagi vaksin di Malaysia. 

 

“Kelulusan ini merupakan waktu tepat buat kami dan negara berikutan betapa pentingnya vaksin untuk melawan pandemik COVID-19,” katanya dalam sebuah kenyataan.


 

Menurut kumpulan itu, YTBH telah memuktamadkan ujian klinikal Fasa 3 dan perolehan produk dengan rakan strategiknya dari China, Shenzhen Kangtai Biological Products Co. Ltd (SZKT) sejak Disember tahun lalu.

 

“Jika anda melihat kepada perkembangan kami sepanjang empat bulan lalu, kami secara proaktif berusaha untuk memastikan kesemua syarat kawal selia dan keselamatan dipatuhi untuk memperoleh kelulusan ini. 

 

“Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada pengumpulan dan analisis bagi ujian klinikal Fasa 1 dan 2 untuk dihantarkan kepada KKM,” tambah Kuang Loon.

 

Katanya, kumpulan telah menetapkan sasaran untuk memulakan pengedaran vaksin SZKT bagi suku ketiga tahun ini, bergantung kepada kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk kegunaan segera.

 

Ujar beliau lagi, setakat ini, kerajaan memperoleh vaksin COVID-19 dan memberikan suntikan secara percuma kepada orang awam. 

 

“Setakat ini, kami hanya melihat kira-kira 2.4% daripada penduduk yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. 

 

“Perjalanan masih lagi jauh dan kami percaya dengan penglibatan sektor swasta tempatan dalam pengedaran vaksin akan membantu mempercepatkan matlamat negara untuk mencapai imuniti kelompok menentang COVID-19,” ujarnya lanjut.

 

Kumpulan itu akan menumpukan kepada ujian klinikal Fasa 3 yang akan dijalankan di Malaysia dengan penglibatan 3,000 sukarelawan.

 

Di bawah kerjasama dengan SZKT, YTBH akan dianugerahkan hak pengedaran eksklusif di Malaysia bagi program perolehan vaksin tidak lebih daripada 10 juta dos setahun dengan pilihan pembelian tambahan sebanyak 10 juta dos setiap tahun, bagi tempoh lima tahun. - DagangNews.com