Zuraida: 32,00 pekerja asing untuk sektor perladangan diluluskan | DagangNews Skip to main content

Zuraida: 32,00 pekerja asing untuk sektor perladangan diluluskan

ZURAIDA Kamaruddin berbincang dengan Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto semasa lawatan rasmi ke republik itu semalam. - Gambar Facebook ZK

 


PUTRAJAYA 25 Okt - Malaysia sudah bersedia untuk membenarkan kemasukan seramai 32,000 pekerja ladang asing termasuk dari Indonesia, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin.

 

Pendirian kerajaan Malaysia tersebut disuarakan oleh Zuraida dalam pertemuan dengan tiga anggota kabinet Indonesia ketika lawatan rasmi beliau ke negara itu.

 

"Namun, kebenaran itu bergantung kepada perjanjian persefahaman (MOU) yang akan dipersetujui dalam masa terdekat," menurut KPPK dalam kenyataan di sini hari ini.


KPPK berkata, prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu telah siap dibangunkan oleh Malaysia dan akan menjadi perintis kepada sektor lain.

 

"SOP berkenaan dirangka dengan mengambil kira keperluan pematuhan kesihatan dan keselamatan negara," kata KPPK.

 

Pertemuan dua hala berkenaan membabitkan Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Airlangga Hartarto, Menteri Perdagangan, Muhammad Lutfi dan Menteri Tenaga Kerja, Ida Fauziyah.

 

Menurut KPKK, bagi Indonesia, penghantaran pekerja ke Malaysia memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.

 

"Keputusan ini dianggap sebagai situasi menang-menang bagi rakyat Indonesia kerana mereka akan mendapat pekerjaan dan pendapatan lumayan sementara Malaysia pula dapat menyelesaikan masalah kekurangan pekerja yang mengakibatkan kerugian besar kepada industri sawit," kata kementerian itu lagi. - DagangNews.com