Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Okt. - Penjualan aset gas milik Petronas di Azerbaijan sama sekali tidak berkait dengan keperluan untuk membayar dividen kepada Kerajaan Persekutuan mahupun menjejaskan kedudukan kewangan syarikat minyak dan gas negara ini, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Sehubungan itu, tegasnya, kerajaan menolak sekeras-kerasnya andaian Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa terdapat hubung kait di antara penjualan aset tersebut dengan keperluan membayar dividen kepada kerajaan.
"Saya ingin memaklumkan bahawa Petronas telah meraih keuntungan bersih lebih tinggi RM9.3 bilion pada suku pertama 2021 berbanding RM4.5 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
"Prestasi ini disokong oleh pemulihan harga minyak dan gas sejak penularan pandemik COVID-19 yang
menjejaskan pendapatan syarikat.
"Keuntungan bersih lebih tinggi itu juga sejajar dengan kos keseluruhan lebih rendah yang ditanggung oleh kumpulan Petronas," katanya dalam jawapan balas kepada usul Ketua Pembangkang itu dalam sesi Kamar Khas, Dewan Rakyat hari ini mengenai isu penjualan aset berkenaan.
Pada 25 Oktober lalu, Anwar mengemukakan usul supaya isu penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan dibahaskan di Dewan Rakyat.
Ini susulan daripada langkah Petronas melupuskan keseluruhan 15.5% pegangan dalam projek gas asli di Shah Deniz dalam sektor Azerbaijan di Laut Caspian kepada syarikat minyak dan gas Russia, Lukoil pada 7 Oktober lalu dengan nilai sebanyak AS$2.25 bilion (kira-kira RM9.34 bilion).
Mustapa menjelaskan, penjualan aset gas di Azerbaijan adalah sebahagian daripada usaha penilaian semula aset dan portfolio perniagaan Petronas yang dilaksanakan secara berterusan.
Katanya, keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian komersial jangka masa panjang, serta pemampatan kos untuk menjamin daya tahan dan kecemerlangan operasi serta komersial.
"Langkah-langkah ini perlu diambil bagi mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh. Dalam hal ini, bukan sahaja aset di Azerbaijan yang terlibat, malah aset-aset lain yang telah memenuhi potensinya turut diberi pertimbangan, sama ada untuk dijual, atau untuk dikurangan pemilikan aset.
"Keputusan yang diambil oleh Petronas adalah bertepatan dengan strategi kumpulan untuk memastikan portfolio huluan yang berfokus, berdaya saing dan mampan," katanya.
Menurut beliau, aset di Azerbaijan telah dikenal pasti sebagai salah satu aset untuk dijual atau candidate for exit sejak 2019 lagi.
Bagaimanapun, jelasnya, proses jualan mengambil masa untuk memastikan harga penjualan aset dapat memberi nilai yang wajar dan berpatutan kepada Petronas.
"Tahun 2020 adalah tahun yang amat mencabar dan penjualan aset di Azerbaijan tahun lalu sudah pasti tidak sesuai," tambahnya.
Pada masa sama, katanya, penjualan aset ini juga adalah selari dengan strategi 3 serampang Petronas iaitu memaksimumkan penjanaan aliran tunai, mengembangkan perniagaan teras dan menceburi sektor perniagaan baharu.
Mengenai pembayaran dividen pula, Mustapa berkata, ia berdasarkan penilaian yang teliti oleh Lembaga Pengarah Petronas yang akan meneliti keadaan dan prestasi kewangan semasa.
Jelas beliau, dalam menentukan jumlah dividen yang mampu dibayar, pihak lembaga Petronas perlu terlebih dahulu memastikan syarikat mampu dan secara selesa dapat membiayai kos operasi, kos pinjaman dan membuat pelaburan semula bagi menyokong strategi pertumbuhan jangka masa panjang.
"Kelulusan bayaran dividen RM18 bilion pada Februari 2021 adalah berdasarkan prestasi dan pasaran pada 2020 berakhir Disember 2020.
"Jumlah ini adalah lebih rendah daripada tahun sebelumnya oleh kerana impak daripada pasaran yang amat lemah dan harga minyak mentah global yang rendah akibat daripada pandemik COVID-19.
"Kelulusan dividen tambahan RM7 bilion telah dibuat pada Julai 2021. Ia adalah berdasarkan kemampuan dan unjuran prestasi pasaran minyak yang lebih baik bagi 2021," katanya.
Menurut beliau lagi, bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini, purata harga minyak mentah Brent mencatat sebanyak kira-kira AS$69 setong.
"Kelulusan bagi penjualan aset Azerbaijan telah dibuat pada 1 Oktober 2021 setelah mendapat kelulusan Lembaga Pengarah anak syarikat Petronas, iaitu Petronas International Corporation Ltd.," tegas beliau.
Mustapa turut menegaskan bahawa realitinya Petronas mampu membayar dividen sebanyak RM25 bilion dan komited untuk terus menyumbang kepada negara dan masyarakat.
Katanya, bagi memastikan komitmen ini tercapai, Petronas telah membuktikan kemampuan untuk menghasilkan aliran tunai yang kukuh.
Petronas, katanya, telah menyumbang hampir RM1.2 trilion sejak 1976 kepada pembangunan negara, termasuklah ketika negara bergelut dengan pandemik COVID-19 yang disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri, kutipan cukai dan pembayaran tunai.
"Sehubungan itu, perkara-perkara yang diperincikan ini membuktikan bahawa penjualan aset gas di Azerbaijan tidak menjejaskan kedudukan kewangan syarikat yang boleh mengkompromi masa hadapan Petronas.
"Sebaliknya, pelaburan dan keputusan komersial yang diambil oleh syarikat telah membantu mengimbangi cabaran dihadapi khususnya penurunan pendapatan disebabkan pelbagai faktor luar kawalan syarikat," jelas beliau. - DagangNews.com