Skip to main content

Bagaimana cara orang Melayu dan Bumiputera mengatasi cabaran ekonomi masa kini?

Oleh Prof. Dr. Abdol Samad Nawi

 

 

BANGSA Melayu dan Bumiputera perlu melihat bahawa Pembaharuan Struktur Ekonomi sesebuah negara akan berlaku dari semasa ke semasa seiring dengan perubahan Industri Revolusi.

 

Sesebuah negara akan bermula pada tahap awal  dengan pertanian, diikuti perkilangan, seterusnya perkhidmatan.

 

Kajian perubahan struktur ekonomi Malaysia perlu dibuat berdasarkan sumbangan setiap sektor ekonomi kepada KDNK dan guna tenaga Malaysia melalui masa dan zaman.

 

Berkaitan dengan perkembangan guna tenaga di Malaysia, kadar pengangguran adalah pada paras yang rendah dan terkawal walaupun semasa pendemik COVID-19 melanda negara sejak 2020.

 

Sektor pembuatan dan perkhidmatan bukan kerajaan merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan guna tenaga di Malaysia sejak tahun 1980-an.

 

Malaysia mampu mengharungi cabaran perkembangan ekonomi global yang semakin menurun sejak awal tahun 2001 kerana struktur ekonomi yang lebih pelbagai.

 

PM
Pelabuhan Klang yang merupakan pintu eksport/import terbesar Malaysia.

 

 

Malaysia tidak semata-mata bergantung pada industri elektronik untuk menjana pertumbuhan. Asas sektor pembuatan Malaysia kini lebih luas.

 

Selain itu, ekonomi Malaysia telah maju ke arah kegiatan berasaskan pengetahuan sebagai punca pertumbuhan baru.

 

Koridor Raya Multimedia (MSC) telah meletakkan asas bagi membawa negara ke arah perkembangan dalam era ke-21.

 

Meskipun persekitaran luaran kian sukar, asas struktur ekonomi Malaysia masih kukuh dengan pertumbuhan ekonomi mulai tahun 2002 dijana oleh sektor domestik melalui peningkatan penggunaan dan pelaburan untuk merangsang pertumbuhan sektor pembuatan, perkhidmatan mahupun sektor pertanian dan perhutanan dan lain-lain.

 

Dengan itu, bangsa Melayu dan Bumiputera perlu sedar bahawa tujuan pembaharuan ini bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata.

 

Tetapi sebaliknya, untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan kehidupan dan merapatkan jurang pembangunan pemikiran dalam masyarakat.

 

PM

 

Di samping itu, RMKe12 juga bertujuan bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

 

Cadangan untuk memperbaharui struktur ekonomi dalam RMKe12 yang memberi tumpuan terutama kepada penciptaan pekerjaan dan mempertingkat jaringan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemantauan dan penilaian yang lebih baik, merupakan langkah penting dalam hala tuju yang perlu dimanfaatkan oleh bangsa melayu  dan bumiputera kerana mereka merupakan pemain utama dalam sektor ini.

 

Bangsa Melayu dan Bumiputera tidak boleh tidak, perlu melipat gandakan penglibatan melalui RMKe12 di mana kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi.

 

Bangsa Melayu dan Bumiputera juga perlu sedar bahawa teknologi tinggi ini kebanyakannya dikaitkan dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan ia melibatkan transformasi proses pengeluaran.

 

Transformasi proses pengeluaran dari intensif buruh kepada intensif teknologi untuk penjimatan kos operasi.

 

Firma-firma yang dimiliki oleh orang Melayu dan Bumiputera terutamanya PKS perlu mengadaptasi teknologi baharu secara agresif dan menyertai rantaian nilai global dengan efektif.

 

Untuk bergerak seiring dengan usaha kerajaan menyusun semula keutamaan sektor ekonomi dalam RMKe12, sistem pendidikan dan jaringan keselamatan sosial yang kukuh perlu diintegrasikan bersama.

 

Dalam jangka sederhana dan panjang, bangsa Melayu dan Bumiputera memerlukan pembaharuan struktur masyarakat  yang membina institusi masyarakat yang kukuh, meningkatkan daya saing masyarakat, meningkatkan perdagangan dan pelaburan masyarakat serta menggalakkan inovasi masyarakat.

 

Ia amat diperlukan bagi meningkatkan penglibatan dan pertumbuhan produktiviti bangsa. Penglibatan dalam industri nano dan mikro juga perlu di perkukuhkan seiring dengan penstrukturan semula ekonomi bangsa.

 

PM

 

Satu daripada faktor yang mempengaruhi ekonomi Melayu dan Bumiputera ialah struktur ekonomi itu sendiri yang menyebabkan jurang sosioekonomi antara kaum telah wujud sejak pra-pandemik lagi. 

 

RMKe12 dan Belanjawan 2022 dapat membantu merangsang ekonomi Melayu dan Bumiputera lebih baik dari situasi pra-pandemik menerusi peningkatan pendapatan isi rumah.

 

Melalui RMKe12 bangsa Melayu dan Bumiputera perlu meningkatkan potensi diri dan bukan lagi mengharapkan usaha pihak kerajaan melalui program bantuan.

 

Ini bagi mengelakkan kita daripada terjerumus dalam perangkap pendapatan rendah, produktiviti rendah dan kos sara hidup tinggi.

 

Kita tidak boleh terperangkap dalam stigma “kerja sedikit, belanja sedikit”.

 

Bangsa Melayu dan Bumiputera mahu tidak mahu perlu bangkit melakukan pembaharuan dalam pasaran buruh dalam kalangan masyarakat kita dengan mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi melalui sistem pendidikan yang perlu lebih menzaman terutamanya bagi generasi milenial yang mencari kerja.

 

fudzail

 

Jika kita kekal seperti kita sekarang, anak-anak kita tidak akan mempunyai pekerjaan yang cukup baik mengikut perubahan sektor ekonomi dan kita tidak akan dapat melihat pencapaian anak-anak kita akan menjadi lebih baik berbanding kita.

 

Malahan sekarang, kita tidak pasti sama ada anak-anak kita hidup lebih baik berbanding kita melalui usaha kita atau melalui usaha generasi sebelum kita.

 

Melalui RMKe12 peralihan Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju merupakan hala tuju utama dan firma pula akan berlumba-lumba untuk mengurangkan kos pekerja dengan beralih kepada intensif teknologi dan kesanggupan membayar upah lebih akan menurun walaupun produktiviti boleh ditingkatkan sekiranya terdapat perubahan pendapatan.

 

Jika ini berlaku, orang Melayu dan Bumiputera kekal berpeluk tubuh maka akan tiba masanya orang Melayu dan Bumiputera tetap merempat di tanah asal nenek moyang mereka. – DagangNews.com

 

 

Prof Dr Abdol Samad Nawi adalah Penolong Naib Canselor (Keusahawanan) Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), Universiti Teknologi MARA