Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Sarawak bermula hari ini | DagangNews Skip to main content

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Sarawak bermula hari ini

Gambar Kerni Puah/DagangNews

KUCHING 5 Ogos - Bahang Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Sarawak yang bertempat di Dataran Perayaan Petra Jaya di sini yang akan berlangsung bermula hari ini hingga Ahad, kian terasa.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan merasmikan majlis penutupan program itu yang turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ahad ini.

 

AKM ini berkonsepkan keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dengan menggambarkan keutuhan negara yang terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sebuah keluarga, selain frasa Keluarga Malaysia itu disifatkan lebih inklusif kerana merentasi sempadan agama dan bangsa.

 

Sepanjang tiga hari JAKM berlangsung, pelbagai acara dan aktiviti disediakan dengan penglibatan 28 agensi perkhidmatan awam yang menyediakan bantuan dan perkhidmatan.

 

Berdasarkan atur cara yang disediakan turut diadakan Pemadanan Perniagaan, Cabutan Bertuah, Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia, Malam Zikir Berkah “Darul Hanna”, Jualan Keluarga Malaysia, Jualan Usahawan IKS, E-Sukan, Sukan Rakyat, Cita Rasa Keluarga Malaysia, trak makanan, Sihat Keluarga Malaysia dan Larian Sihat Keluarga Malaysia.

 

Selain itu, pelbagai gerai yang menjual produk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) turut  disediakan bagi membolehkan pengunjung melihat sendiri, serta memberi peluang untuk membeli produk-produk keluaran usahawan tempatan, Bernama melaporkan.

 

 

AKM

 

 

Orang ramai yang ingin berkunjung ke AKM boleh membuat pendaftaran awal di https://bit.ly/SARAWAKJAKM dan untuk makluman lanjut melayari laman web www.keluargamalaysia.gov.my. - DagangNews.com