Bakal disenaraikan November ini, IPO Ecomate tawar 49 juta saham baharu | DagangNews Skip to main content

Bakal disenaraikan November ini, IPO Ecomate tawar 49 juta saham baharu

Pengarah Urusan Ecomate, Jason Koh Jian Hui (dua dari kiri) bersama Pengarah Urusan Kewangan Korporat M&A Securities, Datuk Bill Tan (dua dari kanan) ketika majlis menandatangani taja jamin antara kedua-duanya bag penyenaraian Ecomate. Turut kelihatan, Pengarah Eksekutif Ecomate, Koh Cheng Huat (kiri) dan Ketua Kewangan Korporat M&A Securities, Gary Ting (kanan). 

 

 


KUALA LUMPUR 22 Sept. - Pakar perabot yang berpangkalan di Muar, Ecomate Holdings Bhd. akan menawarkan 49 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 30 juta saham sedia ada dengan cara penempatan persendirian kepada pelabur terpilih menerusi Tawaran Awam Permulaan (IPO).

 

Daripada 49 juta saham baharu yang mewakili 14% daripada jumlah saham kumpulan yang diperbesarkan, sebanyak RM17.5 juta diperuntukkan untuk orang awam menerusi undian. 

 

Sebanyak 8.75 juta pula diperuntukkan untuk pengarah, pekerja dan individu yang layak dan memberi sumbangan kepada kejayaan kumpulan. 

 

Selebihnya, iaitu 22.75 juta pula ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih. 

 

Kumpulan itu memeterai perjanjian penaja jamin dengan M&A Securities Sdn. Bhd. sempena pelaksanaan terbitan IPO Ecomate itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd, yang akan disenaraikan pada November.

 

Di bawah perjanjian itu, M&A Securities akan menaja jamin sebanyak 26.25 juta saham daripada 49 juta saham baharu, terdiri daripada bahagian untuk orang awam dan peruntukan langganan pekerja.  

 

Pengarah Urusan Ecomate, Jason Koh Jian Hui berkata, dengan memeterai perjanjian taja jamin itu, kumpulan semakin menghampiri penyeraian di Bursa Securities.

 

"Walaupun kami menyedari ketidaktentuan yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19, kami tetap teguh terhadap prospek pertumbuhan kumpulan dan terus bergerak maju untuk memanfaatkan permintaan perabot yang semakin berkembang pesat," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Menurutnya, dasar bekerja dari rumah dan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China menjadi pemacu utama pertumbuhan bagi industri perabot tempatan di samping perubahan trend pengguna yang membeli-belah secara dalam talian. 
 

"Sebagai pengeluar perabot yang berorientasikan eksport, kami melihat IPO ini sebagai peluang untuk meningkatkan kedudukan korporat dan pengiktirafan jenama serta memperkukuhkan kedudukan kami di pasaran antarabangsa.

 

"Pada masa sama ia juga menyediakan saluran kepada kami untuk memasuki pasaran modal ekuiti bagi pengumpulan dana untuk masa akan datang," tambahnya. 
 

Ditubuhkan pada 2016, Ecomate mengeluarkan produk sedia untuk dipasang bagi memenuhi pasaran tempatan dan antarabangsa. 

 

Produk keluarannya dieksport ke 32 buah negara merentasi 6 benua iaitu Asia, Eropah, Amerika Utara, Australasia, Afrika dan Amerika Selatan. - DagangNews.com